ctumi2000" ctumi2000@yahoo.com
Hijrah Sebelum Hijrah:
Tujuh Pengajaran Penting
Hafiz Firdaus Abdullah (www.hafizfirdaus. com)
Jika disebut peristiwa hijrah, pasti ramai yang terus memikirkan
penghijrahan umat Islam dari Mekah ke Madinah. Sebenarnya terdapat
peristiwa hijrah yang berlaku sebelum itu, iaitu penghijrahan
sebahagian umat Islam dari Mekah ke Habasyah, yang kini dikenali
sebagai Etophia.
Hijrah ini berlaku pada bulan Rejab, tahun kelima sejak Muhammad
shallallahu 'alaihi wasallam diangkat menjadi Rasul. [Thabaqat Ibn
Sa`ad (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1997), jld. 1, ms. 161] Ia
pada mulanya dipimpin oleh `Utsman bin Mazh`un radhiallahu 'anh dan
terdiri dari lebih kurang sepuluh orang lelaki, sebahagian mereka bersama
ahli keluarga masing-masing. [Sirah Ibn Hisyam (Maktabah al-`Abikan,
Riyadh, 1998), jld. 1, ms. 346] Beberapa bulan kemudian berlaku
penghijrahan yang kedua ke Habasyah yang terdiri dari lebih kurang
lapan puluh tiga orang lelaki, sebahagian mereka bersama ahli
keluarga masing-masing. [Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 352]
Terdapat beberapa pengajaran penting di sebalik peristiwa hijrah ke
Habasyah yang sebenarnya dapat kita manfaatkan pada zaman kini.
Insya-Allah melalui risalah ini saya akan menerangkan tujuh daripada
pengajaran tersebut.
Pengajaran # 1: Plan A, Plan B.
Faktor utama yang menyebabkan penghijrahan ke Habasyah ialah
penindasan kaum musyrik ke atas umat Islam di Mekah. Syaikh Mahmud
Syakir menerangkan:
Sebab utama yang menyebabkan kaum muslimin hijrah ke Habasyah ialah
tekanan dan intimidasi luar biasa daripada pihak musyrikin Quraish.
Selain itu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga khuatir kaum
musyrikin Quraish akan menggunakan kekuatan fizikal untuk memaksa
mereka yang telah masuk Islam agar meninggalkan agama yang baru
mereka peluk. Kelihatannya inilah yang menjadi sebab utama hijrahnya
sahabat-sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ke negara Habasyah.
Saat memberikan keterangan latar belakang hijrahnya sahabat-sahabat
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, semua buku rujukan sejarah
Islam menyatakan hal yang baru saja diungkap.
[Mausu`ah Ghuzwat al-Rasul (edisi terjemahan oleh Abdul Syukur Abdul
Razzaq atas judul Ensiklopedi Peperangan Rasulullah; Pustaka al-Kautsar,
Jakarta, 2005),ms. 29]
Apabila menghadapi penindasan kaum musyrik Mekah, Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam tidak bersikap buntu atau mengalah.
Sebaliknya baginda aktif memikirkan jalan keluar untuk menyelamatkan
agama umatnya. Plan A ialah tetap tinggal di Mekah. Akan tetapi
memandangkan Plan A sukar dilaksanakan, baginda merangka Plan B yang
merupakan penghijrahan ke Habasyah.
Di sini terdapat pengajaran yang penting kepada umat Islam. Jika kita
menghadapi sesuatu halangan dalam beragama atau berdakwah, jangan
bersikap buntu atau mengalah, mahu pun asyik menyalahkan pihak lain.
Sebaliknya hendaklah aktif memikir jalan keluar yang membolehkan kita
tetap berpegang kepada agama yang dicintai ini dan terus melaksanakan
dakwah.
Pengajaran # 2: Peka Kepada Suasana Antarabangsa.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam hidup pada zaman yang masih
belum mengenal surat khabar, televisyen, telex, fax, satelit,
internet, talifon, sistem pesanan ringkas (SMS) dan apa-apa lain alat
komunikasi. Di sebalik semua ini, baginda tetap peka kepada suasana
antarabangsa dan tahu kepada negara manakah, kepada pemimpin manakah,
baginda hendak menghantar umat Islam bagi mendapatkan perlindungan.
Ketika melihat umat Islam ditindas oleh kaum musyrik Mekah,
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada mereka:
"Sesungguhnya di bumi Habasyah terdapat seorang raja yang tidak dizalimi
seorang jua orang yang berada di bawah pemerintahannya. Ia adalah negara
yang benar, hingga Allah memberi jalan keluar bagi penindasan yang kalian
alami."
[Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ibn Ishaq dan sanadnya dinilai
hasan oleh Dr. Akram Dhiya' al-`Umari dalam al-Sirah al-Nabawiyyah
al-Shahihah (Maktabah al-`Abikan, Riyadh, 1998), jld. 1, ms.170]
Raja yang dimaksudkan oleh baginda, namanya Ashama bin Bahr. Di
Habasyah, raja digelar sebagai Najasyi sebagaimana di negara Mesir,
raja di gelar sebagai Firaun. [Ibn Katsir � al-Sirah al-Nabawiyyah
(edisi terjemahan oleh Trevor Le Gassick atas judul The Life of the
Prophet Muhammad; Garnet Publishing, United Kingdom, 1998), jld. 2,
ms, 18.]
Beliau ialah satu-satunya anak bagi ayahnya yang juga merupakan
Najasyi sebelum itu. Akan tetapi rakyat memberontak, membunuh ayahnya
dan mengangkat pakciknya menjadi Najasyi. Ashama bin Bahr dijual di
pasar sebagai hamba dengan harga enam ratus dirham. Pada petang hari
Ashama dibeli oleh seorang pedagang, pakciknya mati disambar kilat.
Ini menyebabkan negara Habasyah menjadi hiruk pikuk.
Maka sebahagian daripada mereka berkata kepada sebahagian yang lain:
"Belajarlah! Demi Allah, sesungguhnya raja kalian yang mampu mengurus
persoalan ini ialah raja yang kalian jual pagi tadi. Jika kalian
masih mempunyai perhatian terhadap urusan Habasyah, carilah dia." Maka
mereka mencari Ashama bin Bahr dan mengangkatnya sebagai Najasyi.
Sejak dari itu beliau memerintah dengan adil dan keadaan di Habasyah
kembali aman.
[Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 358-359]
Keadilan Najasyi Ashama bin Bahr terserlah dalam layanan beliau
kepada umat Islam yang datang berhijrah ke negaranya. Umat Islam yang
berhijrah menceritakan: "Kami berlabuh di Habasyah di mana kami
berjiran dengan sebaik-baik jiran. Agama kami, ibadah kami kepada
Allah berada dalam keadaan aman. Kami tidak ditindas dan kami tidak
mendengar apa-apa (perkataan buruk) yang kami membencinya. "
[Thabaqat Ibn Sa`ad, jld. 1, ms. 159]
Tidak diketahui bagaimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
mengetahui perihal Najasyi Ashama yang adil di Habasyah. Kemungkinan
besar baginda mendengarnya dari khabar para pedagang yang pernah ke
sana. Apa pun, yang penting baginda tetap peka kepada suasana
antarabangsa sehingga mampu mengetahui negara manakah yang akan
menjamin keamanan umatnya.
Pada masa kini, umat Islam tidak begitu peka kepada suasana
antarabangsa, termasuklah suasana dunia Islam. Pengetahuan tentang
ini adalah penting supaya seandainya ada umat Islam yang ditindas, kita
dapat menghulurkan bantuan dan mendoakan mereka. Suasana umat Islam
di Palestin, Iraq, Afghanistan dan sebagainya memerlukan perhatian kita.
Mereka semua ialah saudara seagama dengan kita. Mereka bukanlah
"rakyat negara lain" tetapi umat Islam yang hanya dipisahkan oleh
garisan sempadan di atas peta.
Pengajaran # 3: Dibolehkan Meminta Perlindungan Kaum Bukan Islam Jika
Dalam Suasana Terpaksa.
Satu ciri penting tentang Najasyi Ashama bin Bahr yang belum saya
ceritakan ialah agamanya. Beliau dan rakyatnya beragama Kristian.
Ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh umat Islam
untuk berhijrah ke Habasyah, Najasyi Ashama bin Bahr beragama
Kristian.
Umat Islam pada dasarnya tidak dibolehkan meminta perlindungan
daripada umat agama lain. Umat Islam hendaklah saling membela dan
melindung, kecuali dalam suasana terpaksa di mana mereka perlu
meminta perlindungan kaum bukan Islam. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,
maksudnya:
Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir
menjadi pelindung dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa
yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat
perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak
menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka
(yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat
terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah
tempat kembali.
[`Ali Imran 3:28]
Dr. Mahdi Rizqullah Ahmad menjelaskan:
Kaum muslimin diperbolehkan mencari perlindungan kepada orang-orang
bukan Islam apabila memang sangat diperlukan. Dalam hal ini tidak ada
kategori orang bukan Islam khusus yang boleh kita minta perlindungan.
Ertinya, kita boleh mencari perlindungan kepada siapa saja, baik
seorang penguasa beragama Kristian seperti Najasyi atau kepada
orang-orang musyrik seperti (tindakan) beberapa kaum musyrikin Mekah
yang memberi perlindungan kepada beberapa orang Islam. Seperti Abu
Thalib yang melindungi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan
Muth`im ibn `Adi yang melindungi Rasulullah ketika kembali dari
Thaif.
[al-Sirah al-Nabawiyyah fi Dhau`i al-Mashadir al-Ashliyyah: Dirasat
Tahliliyyah (edisi terjemahan oleh Yessi Basyaruddin atas judul
Biografi Rasulullah; Qisthi Press, Jakarta, 2006), ms. 252]
Umat Islam yang berhijrah ke Habasyah bukan sahaja meminta
perlindungan dari seorang raja Kristian, mereka juga mendoakan
kemenangan beliau. Ketika mereka di sana, sebahagian rakyat Habasyah
ada yang bangkit memberontak ke atas pemerintahan Najasyi Ashama bin
Bahr. Najasyi Ashama sendiri turun bersama pasukannya untuk melawan
pemberontakan di tebing sungai Nil. Umm Salamah radhiallahu 'anha
menerangkan: "Kami (umat Islam di Habasyah) berdoa kepada Allah
Ta`ala agar memenangkan Najasyi atas musuhnya dan memberikan keamanan
kepada negaranya." Setelah itu ternyata kemenangan berpihak kepada Najasyi.
[Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 358]
Mengulas fenomena ini, Syaikh Abu al-Hasan `Ali al-Nadwi berkata:
Saat Najasyi diserang musuhnya, maka umat Islam yang berhijrah ke
Habasyah membantunya (dengan doa dan sokongan) sebagai pengakuan atas
kebaikan sikapnya kepada orang-orang tertindas yang berhijrah ke
(negara)nya dan sebagai balasan atas kebaikannya. Hal ini (doa dan
sokongan) sesuai dengan ajaran-ajaran moral dalam Islam dan sesuai
dengan akhlak umat Islam.
[al-Sirah al-Nabawiyyah (edisi terjemahan
oleh M. Halabi Hamdi atas judul Sejarah Lengkap Nabi Muhammad;
Mardhiyah Press, Yogyakarta, 2005), ms. 143]
Oleh itu jika terdapat individu atau masyarakat bukan Islam yang
dikenali dengan kebaikan dan keadilan dizalimi oleh pihak lain,
dibolehkan bagi umat Islam mendoa dan mengharapkan keamanan bagi
mereka. Jika seorang amoi diserang pencuri, kita patut menolongnya.
Jika sebuah negara bukan Islam diserang oleh negara lain, kita patut
membantah serangan tersebut. Tindakan seperti ini bukan bererti kita
menyokong agama mereka, tetapi semata-mata kerana akhlak Islam yang
mengajar umatnya untuk sentiasa menyokong keadilan.
Pengajaran # 4: Tetap Berdakwah Sekali Pun Dalam Suasana Terhimpit.
Ketika menganalisa peristiwa hijrah ke Habasyah, Dr. Muhammad Husein
Haykal bertanya:
Amatlah berpatutan jika para pengkaji sirah Muhammad (shallallahu
'alaihi wasallam) bertanya tentang tujuan penghijrahan yang dilakukan
oleh umat Islam di bawah suruhan Muhammad, adakah ia semata-mata
untuk menyelamatkan diri daripada penindasan kaum musyrik Mekah atau
adakah ia suatu strategi politik di mana Muhammad memiliki tujuan yang l
ebih besar di sebaliknya?
[Hayat Muhammad (edisi terjemahan oleh Ismail
Raji al-Faruqi atas judul The Life of Muhammad; Islamic Book Trust,
Kuala Lumpur, 1993), ms. 97]
Tidak dinafikan bahawa tujuan utama Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam menyuruh umat Islam berhijrah ke Habasyah ialah untuk
memelihara agama mereka daripada penindasan kaum musyrik Mekah.
Walaubagaimana pun keluasan wawasan kepimpinan baginda menyebabkan
kita bertanya, mungkinkah ada sesuatu lain yang ingin dicapai oleh
baginda?
Sudah tentu ada. Salah satu daripadanya ialah baginda ingin
mengembangkan dakwah Islam kepada Habasyah dan kepada Najasyinya,
Ashama bin Bahr. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yakin sikap
adil Najasyi Ashama akan menyebabkan beliau menimbang dengan adil
tentang Islam. Kejayaan dakwah Islam di benua Afrika akan membolehkan
Islam memiliki pusat yang baru selain Semenanjung Arab.
Hakikat ini diketahui oleh para pembesar musyrik Mekah. Oleh kerana
itulah, setelah mendapat tahu tentang penghijrahan umat Islam ke
Habasyah, mereka mengutus `Abdullah bin Abu Rabi`ah dan `Amr bin
al-Ash bin Wail ke Habasyah untuk segera membawa balik kumpulan umat
Islam yang berlindung di sana. Rombongan disertai dengan pelbagai
hadiah menarik untuk merasuah Najasyi dan para menterinya.
Ketika sampai ke Habasyah, kedua-dua utusan terlebih dahulu berjumpa
dengan para menteri Najasyi Ashama. Mereka berdua memberi hadiah
kepada para menteri tersebut sebagai rasuah agar turut memujuk
Najasyi Ashama untuk mengembalikan umat Islam ke Mekah. Para menteri
bersetuju. Setelah itu kedua-dua utusan menghadap Najasyi Ashama.
Mereka mendahului dengan memberi hadiah, kemudian meminta agar
Najasyi Ashama mengembalikan umat Islam ke Mekah. Para menteri Najasyi
Ashama menyatakan kesetujuan mereka dalam permintaan tersebut.
Walaubagaimana pun Najasyi Ashama tidak mudah terpedaya dengan hadiah
dan permintaan kedua-dua utusan tersebut. Sebaliknya beliau memanggil
umat Islam yang berlindung di negaranya untuk datang menghadap dan
membela diri sendiri. Umat Islam memilih Ja'far bin Abu Thalib
radhiallahu 'anh untuk menjadi jurucakap mereka. Ja'far dengan bijak
menerangkan hakikat agama Islam dan menerangkan sikap kaum musyrik
Mekah terhadap orang-orang yang memilih untuk memeluk Islam.
Setelah itu Ja'far membaca beberapa ayat awal dari surah Maryam.
Najasyi Ashama dan paderi-paderinya yang turut hadir ketika itu
segera mengakui kebenaran Islam lalu menangis sehingga membasahi
janggut mereka. Akhirnya Najasyi menolak kedua-dua utusan tersebut dan
mengembalikan hadiah-hadiah mereka. Beliau terus menyatakan
jaminannya untuk melindungi umat Islam yang berada di negaranya.
[Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 353-358]
Perhatikan keberanian umat Islam, khasnya Ja'far bin Abi Thalib
radhiallahu 'anhum dalam peristiwa di atas. Sekali pun mereka dalam
keadaan terhimpit dan dalam keadaan simpati di bawah perlindungan
orang bukan Islam, mereka tetap berani menerangkan tentang Islam.
Usaha dakwah Ja'far bin Abi Thalib dan umat Islam membuahkan
kejayaan.
Najasyi Ashama bin Bahr akhirnya memeluk Islam. Bahkan beliau juga
menjadi pendakwah Islam dan ini tidak lain tidak bukan kepada `Amr
bin al-Ash sendiri, salah seorang daripada dua utusan musyrik Mekah yang
datang menghadapnya sebelum itu.
Ia berlaku kira-kira sepuluh tahun kemudian, selepas Perang Khandaq.
Dalam peperangan yang berlaku pada tahun lima hijrah tersebut, kaum
musyrik kalah di tangan umat Islam. Setelah peperangan, `Amr bin
al-Ash yang masih musyrik saat itu pergi berjumpa dengan Najasyi
Ashama bin Bahr di Habasyah. Dia, bagi pihak kaumnya, merancang untuk
meminta perlindungan beliau seandainya umat Islam mengalahkan mereka
di Mekah.
Tatkala sampai di istana, dia berselisih dengan seorang utusan
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang bernama `Amr bin Umayyah
al-Damriy radhiallahu 'anh. `Amr bin al-Ash meminta kepada Najasyi
Ashama untuk mengizinkannya membunuh `Amr bin Umayyah. Najasyi Ashama
segera memarahinya, lantas menerangkan tentang Islam dan kebenaran
Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam sebagai seorang Rasul Allah.
Mendengar dakwah itu, `Amr bin al-Ash akhirnya memeluk Islam di
tangan Najasyi Ashama. Beliau kemudiannya pergi ke Madinah untuk berjumpa
dengan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan menyatakan
keislaman beliau di hadapan baginda.
[Syaikh Muhammad Yusuf al-Khandhlawi � Hayat al-Shahabah (Dar Ibn Katsir,
Damsyik, 2000), jld. 1, ms. 290-291]
Pengajaran # 5: Solat Jenazah Ghaib.
Najasyi Ashama bin Bahr meninggal dunia pada tahun sembilan hijrah.
[Ibn Hajar al-`Asqalani � Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari
(Dar al-Fikr, Beirut, 2000), jld. 7, ms. 588]
Apabila hal ini dikhabarkan
kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, baginda bersabda,
maksudnya: "Pada hari ini seorang lelaki yang soleh telah meninggal
dunia. Maka berdirilah dan bersolatlah untuk saudara kamu: Ashama."
[Shahih al-Bukhari, hadis no: 3877 (Kitab Manaqib al-Anshar, Bab
kematian Najasyi)]
Sekali pun Rasulullah dan para sahabatnya berada di Madinah pada saat
itu, mereka melaksanakan solat jenazah kepada Najasyi Ashama bin Bahr
yang mayatnya berada di Habasyah. Solat jenazah dilakukan seperti
biasa, hanya tidak ada jenazah yang diletakkan di hadapan imam. Ini
dikenali sebagai solat jenazah ghaib.
Terdapat perbincangan di kalangan para ilmuan tentang hukum solat
jenazah ghaib. Para ahli fiqh Mazhab al-Syafi'e dan Hanbali
membolehkannya manakala para ahli fiqh Mazhab Maliki dan Hanafi tidak
membolehkannya. Mereka berpendapat ia hanya satu-satunya kes khusus
yang berlaku kepada Najasyi Ashama bin Bahr.
Pendapat yang dipilih ialah di pertengahan antara dua di atas. Jika
seorang muslim meninggal dunia di lokasi yang terdapat orang yang
melaksanakan solat jenazah ke atasnya, maka umat Islam di tempat lain
tidak perlu melaksanakan solat jenazah ghaib. Umat Islam di tempat
lain cukup mendoakan keampunan dan rahmat Allah kepada yang telah
meninggal dunia. Sebaliknya jika di lokasi tersebut tidak ada orang
Islam yang melaksanakan solat jenazah, maka umat Islam di tempat lain
boleh melaksanakan solat jenazah ghaib ke atas orang yang meninggal
dunia itu. Demikian pendapat yang dipilih oleh Syaikh al-Islam Ibn
Taimiyyah dan Syaikh Muhammad bin Shalih al-`Utsaimin. [Syaikh Kamal
bin al-Sayyid Salim � Shahih Fiqh al-Sunnah (al-Maktabah
al-Taufiqiyyah) , jld. 1, ms. 648-649]
Pengajaran # 6: Tidak Perlu Merebut Mayat Jika Suasana Tidak
Mengizinkan.
Perhatikan bahawa apabila Najasyi Ashama bin Bahr meninggal dunia di
Habasyah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak mengutus
sesiapa untuk pergi mengambil mayatnya untuk dikebumikan di Madinah.
Padahal pada tahun sembilan hijrah, umat Islam sudah memiliki
kestabilan dan kekuatan yang cukup untuk pergi ke Habasyah dan
merebut mayat Najasyi Ashama.
Sebaliknya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam membiarkan jenazah
Najasyi Ashama dikebumikan mengikut aturcara Kristian dan disemadikan
di kawasan perkuburan orang Kristian. Baginda mengetahui bahawa di
sebalik itu semua, di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala, Najasyi Ashama
tetap seorang muslim, akan melalui Alam Barzakh sebagai seorang
muslim dan akan bangkit di Hari Akhirat kelak sebagai seorang muslim.
Mengurusi jenazah seorang muslim mengikut aturcara Islam adalah satu
kewajipan, akan tetapi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
mengetahui jika direbut mayat Najasyi Ashama dari Habasyah, ia akan
menimbulkan mudarat yang besar berbanding manfaat. Ini kerana
majoriti rakyat Habasyah ketika itu beragama Kristian dan baginda masih
mengharapkan usaha dakwah Islam berjaya di sana. Harapan ini akan
musnah jika masyarakat Habasyah memiliki pandangan buruk terhadap
Islam yang telah "merebut mayat Najasyi mereka".
Pada masa kini, fenomena merebut mayat berlaku di Malaysia. Ia adalah
sesuatu yang perlu dipertimbangkan secara serius oleh umat Islam,
khasnya pihak-pihak berwajib. Amat menghairankan apabila orang yang
memeluk Islam dibiarkan begitu saja, akan tetapi apabila dia
meninggal dunia kita sibuk hendak merebut jenazahnya. Saya memiliki risalah
yang khas berkenaan hal ini berjudul Cadangan Terhadap Prosedur Merebut
Mayat Bagi Orang Yang Diperselisihkan Keislamannya yang dimuatkan
dalam Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 6)
terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
Pengajaran # 7: Hukum Pemimpin Yang Tidak Mampu Melaksanakan Syari`at
Islam.
Tidak diketahui secara pasti bilakah Najasyi Ashama bin Bahr memeluk
Islam. Jelasnya beliau memeluk Islam sebelum tahun lima hijrah
sebagaimana peristiwa keislaman `Amr bin al-Ash di atas. Seandainya
beliau memeluk Islam selewat-lewatnya pada tahun lima hijrah lalu
meninggal dunia pada tahun sembilan hijrah, bererti beliau beragama
Islam minimum selama empat tahun.
Walaubagaimana pun dalam tempoh empat tahun tersebut, beliau tidak
melaksana satu jua syari`at Islam dalam pemerintahannya. Padahal
dalam tempoh tersebut, banyak hukum-hukum Islam, baik ibadah, ekonomi,
keluarga, politik dan sebagainya telah disyari`atkan. Ini berlaku
kerana rakyatnya yang majoriti beragama Kristian menentang Islam dan
akan menentang beliau jika mereka mengetahui beliau ingin melaksanakan
syari`at Islam di atas bumi Habasyah.
Bukti bagi penentangan ini ialah peristiwa rakyatnya yang pernah
memberontak kerana menganggap Najasyi Ashama telah memeluk Islam.
Berhadapan dengan situasi ini, Najasyi Ashama menulis di atas sehelai
kertas bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad ialah
hamba Allah dan Rasul-Nya. Dia juga bersaksi bahawa `Isa bin Maryam
ialah hamba Allah, Rasul-Nya, Ruh-Nya dan Kalimat-Nya yang ditiup
kepada Maryam. Kertas itu kemudian dilipat dan simpan di dalam kocek
bajunya di bahagian kanan dadanya.
Najasyi Ashama seterusnya keluar menemui rakyatnya sambil bertanya:
"Wahai orang-orang Habasyah! Bukankah aku orang yang paling berhak ke
atas kalian?"
Mereka menjawab: "Benar!"
"Bagaimana kalian melihat sejarah hidupku di kalangan kalian?"
"Sejarah yang baik."
"Jika begitu mengapa?"
"Engkau telah keluar dari agama kami dan menyakini `Isa ialah hamba
(Allah)."
"Apa yang kalian katakan tentang `Isa?"
" `Isa ialah anak Allah."
Najasyi Ashama kemudian meletakkan tangannya di dada kanannya seraya
berkata, yakni dengan bersaksi `Isa ialah anak Maryam dan tidak lebih
dari itu, seperti apa yang dia tulis pada surat yang berada dalam
kocek bajunya, yang kini berada di bawah tangannya. Mendengar dan
melihat sedemikian, orang-orang Habasyah bersurai.
[Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 360]
Penentangan yang dihadapi oleh Najasyi Ashama daripada rakyatnya,
seandainya mereka mengetahui beliau telah memeluk Islam, adalah
hebat. Apatah lagi jika mereka perhatikan dia cuba untuk melaksanakan
syari`at Islam dalam pemerintahannya. Sudah tentu akan ada
penentangan yang lebih hebat. Justeru Najasyi Ashama tidak melaksanakan
satu jua daripada syari`at Islam dalam pemerintahannya. Hakikat ini tidak
menyebabkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menghukum beliau
sebagai kafir. Bahkan apabila beliau meninggal dunia,
Rasulullah tetap melaksanakan solat jenazah secara ghaib sambil
berkata: "Pada hari ini seorang lelaki yang soleh telah meninggal
dunia. Maka berdirilah dan bersolatlah untuk saudara kamu: Ashama."
Peristiwa ini memiliki pengajaran yang bernilai di sebaliknya, iaitu
jika seseorang itu tidak melaksanakan sesuatu syari`at Islam kerana
ketidakmampuannya, maka dia tidak dihukum kafir. Selagi mana dia
jujur benar-benar tidak mampu, Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak akan
menghukuminya.
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menerangkan pelajaran ini dari peristiwa
Najasyi Ashama:
Meski pun Najasyi seorang raja Nasrani, kaumnya tidak mahu tunduk
kepadanya untuk masuk Islam. Yang ikut sertanya untuk masuk Islam
hanya segelintir orang. Oleh kerana itu ketika beliau meninggal
dunia, tidak seorang jua yang mensolatkan (jenazah)nya. Maka Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam mensolatkannya di Madinah dan orang-orang
Islam turut keluar bersama membentuk saf-saf untuk mensolatkannya
(di Madinah).
Apabila mereka mengkhabarkan tentang kematian beliau pada hari
kematiannya, baginda bersabda: "Sesungguhnya saudara kamu yang shalih
daripada Habasyah (Etophia) telah meninggal dunia".
Padahal banyak daripada syari`at Islam, atau kebanyakan daripadanya,
tidak satu jua yang dilaksanakan olehnya. Beliau tidak berhijrah,
berjihad, melaksanakan Haji ke Baitullah, bahkan diriwayatkan beliau
juga tidak mendirikan solat lima kali sehari, tidak berpuasa pada
bulan Ramadhan dan tidak mengeluarkan zakat yang disyari`atkan. Semua
ini kerana (amalan-amalan tersebut) akan menzahirkan (status
Islamnya) kepada kaumnya dan mereka akan mengingkarinya. Dan beliau
tidak mungkin untuk berselisih dengan mereka. Kita mengetahui secara
pasti bahawa tidak mungkin baginya untuk menerapkan hukum al-Qur'an di
kalangan mereka (rakyatnya)��
�� (Selain itu) banyak juga orang yang menjadi qadhi dan imam (pada
zaman pemerintahan) Islam dan (pada zaman penjajahan) Tartar, yang
adil dan ingin memutuskan sesuatu perkara secara adil (yakni
berdasarkan syari`at Islam), akan tetapi itu tidak mungkin bagi
mereka. Bahkan ada orang yang menghalangi mereka dan sesungguhnya
Allah tidak membebankan satu jiwa melainkan menurut kemampuannya.
Umar bin `Abd al-`Aziz juga dimusuhi dan dihukum kerana sebahagian
perkara yang dia tegakkan secara adil. Bahkan ada yang mengatakan,
dia diracun kerana pengadilan tersebut.
Najasyi dan orang-orang lain yang semisal keadaannya dengan beliau
adalah orang-orang yang berbahagia di dalam syurga, meski pun mereka
tidak melaksanakan syari`at Islam (pada zaman kepimpinan mereka). Ini
kerana memang mereka tidak mampu melaksanakannya. Mereka sekadar
memutuskan sesuatu perkara mengikut apa yang mereka mampu laksanakan.
[Majmu' al-Fatawa (Dar al-Wafa', Kaherah, 2001) jld. 19, ms. 218-219]
Demikian tujuh pengajaran yang ingin saya kongsi bersama para pembaca
sekalian berkenaan hijrah sebelum hijrah, iaitu penghijrahan ke
Habasyah yang berlaku lapan tahun sebelum penghijrahan ke Madinah.
Seandainya kita mengkaji peristiwa hijrah ke Habasyah dengan lebih
mendalam, nescaya ditemui pengajaran-pengajar an bermanfaat yang
lain.
Namun memadailah dengan tujuh peng ajaran buat masa ini.
Showing posts with label Najashi. Show all posts
Showing posts with label Najashi. Show all posts
Tuesday, January 8, 2008
Subscribe to:
Posts (Atom)
