Assalamualaikum semua,
Alhamdulillah. .Syukur pada Allah kerana memberikan kita semangat dan kekuatan untuk terus melakukan Dakwah. Imam Hasan Al Banna dalam bukunya Manhaj AD Dakwah meletakkan dua rangka besar dalam kerja dakwah melalui ayat Al quran mafhumnya “ Serulah ke jalan tuhanmu dengan penuh hikmah ….”
Pertama : hikmah bermaksud kemampuan dan persediaan seorang pendakwah dalam memahami latarbelakang pendidikan dan kehidupan sasaran dakwah, menganalisa pendekatan yang sesuai lalu memfokuskan usaha dakwah dengan penuh strategi dan sabar serta tidak terburu-buru untuk melihat hasilnya.
Kedua : Memastikan method dakwah dan sumbernya jelas dan tidak bercampur dengan perkara –perkara yang haram dan syubhat . Maksudnya tidak boleh seorang pendakwah juga minum arak untuk mengambil hati si peminum arak yang lain atas alasan berdakwah.
Sebab itu satu ketika dahulu sidang dakwah Malaysia tidak lagi menggalakkan pendakwah membawa rokok berdozen-dozen semata – mata mengambil hati orang asli atas alasan dakwah. Ini adalah kerana merokok itu adalah perbuatan makruh pada pandangan sebahagian ulama Fikah. Mengekalkan perbuatan makruh denagn berterusan akan membawa kepada hukum haram.
Ungkapan Islam untuk semua adalah ungkapan yang tepat dan sesuai dengan prinsip Dakwah Rasulullah. Sebab itu dalam Rasullulah memperjuangkan Islam pada masa yang sama Rasulullah tidak menghilangkan identiti bangsa, keturunan dan dari mana seseorang itu datang. Malah Rasullulah sendiri berbangga sebagai seorang Quraisy. : “Aku adalah seorang yang paling fasih berbahasa Arab dan aku adalah seorang Quraisy “ .
Malah gelaran Salman Al farisi di berikan oleh Rasullulah kepada beliau kerana mengenali Salman yang terkenal denagn identiti keparsiannya malah berbangga dengan negeri asal beliau. Mereka yang masuk Islam ketika Rasullullah juga tidak ditukarkan nama dan dibinkan dengan Abdullah. Sehingga ahli keluarga mereka yang masuk Islam tidak terasa seperti kehilangan ahli keluarga kerana sudah di binkan dengan nama orang lain. Rasullulah tidak membantah dalam hal ini kerana ia perkara yang dibenarkan sebagai pilihan yang boleh di buat.
Satu ketika yang lain Rasullulah berbincang dengan para sahabat bagaimana hendak memanggil umat Islam bersembahyang, ada yang mencadangkan dengan menggunakan loceng, ada yang mencadangkan dinyalakan api. Rasullulah mengingatkan para sahabat agar dibuat sesuatu yang tidak menyerupai cara orang Yahudi dan Nasrani . Lalu syariat azan diturunkan untuk dijadikan identiti orang Islam memanggil umat mengerjakan Solat. Rasullulah mencegah penggunaan loceng kerana ini adalah hal yang berkaitan dengan perlaksanaan syariat solat dan tauhid uluhiyah yang hanya menyembah Allah yang esa.
Dakwah Rasullullah ialah dakwah yang tidak menghilangkan identiti seseorang atau sesuatu bangsa dan kaum maupun negara. Di dalam Islam tidak salah sayangkan bangsa selagimana ianya berteraskan Tauhid dan Sunnah Nabi.
Rasullullah melarang seseorang itu menjadi pejuang bangsa semata-mata tetapi yang Rasullullah kehendaki seseorang itu menjadi pejuang Islam tanpa mengenal sempadan bangsa.
Perkataan “Khairat” bukanlah persoalan Tauhid yang tidak boleh di sanggah. Begitu juga dengan istilah “Solat” dan “Masjid” yang merujuk kepada sembahyang yang di lakukan oleh orang Islam dengan kaifiat yang di tunjukkan oleh Rasullullah. Sesiapa yang memakai perkataan Solat dengan melakukan cara yang lain dari Rasullulah perlu ditentang kerana perkataan itu digunakan di dalam al Quran dengan mempunyai roh keimanan dan tauhid yang jelas.
Begitu juga Istilah “Masjid” yang hanya merujuk kepada tempat ibadat orang Islam yang pada rohnya dibina atas dasar takwa seperti apa yang dinyatakan di dalam Al Quran. Jadi kalau ada agama lain hendak memakai istilah ini untuk merujuk kepada tempat ibadat mereka maka itu tidak boleh dan perlu di pertahankan.
Kesemua perkataan ini mempunyai nilai iman kerana ia di sebut di dalam al Quran untuk menggambarkan identiti Islam yang berpaksikan tauhid. Al Quran menyebut Khairat dengan jelas “ Fastabiqul Khairat “.
Sifat keadilan dan keterbukaan dalam Islam adalah berprinsip dan bermaruah bagi setiap bangsa dan kaum. Islam tidak memaksa untuk agama yang lain memeluk Islam. Islam menghormati prinsip agama yang lain sambil meminta agama yang lain menghormati Islam.
Dalam hal ini ayat surah Al Kafirun itu jelas memberikan pedomam pada orang Islam iaitu “ Bagi kamu agama kamu ( Yahudi dan Nasara ) dan bagi kami agama kami ((Islam Yang mulia ) “
Islam menunjukkan nilai keterbukaan yang luas dalam menjalani kehidupan tanpa bertolak ansur dalam memelihara nilai tauhid dan iman. Kegagalan umat bukan Islam memahami Islam bukanlah kerana istilah yang kita gunakan tetapi kerana peribadi muslim umat melayu yang lemah dalam segala bidang. Umat melayu Islam sudah tidak membawa sunnah besar Rasullulah dalam membina kesepakatan umat Islam dan berusaha mencari persamaan tetapi lebih mengutamakan perbezaan dan mengenengahkan issue-issue yang lemah yang membawa kepada keruntuhan bangsa dan Negara. Melihat kepada kecelaruan perspektif yang timbul di kalangan umat Islam dan Melayu, maka tidak hairanlah di Malaysia banyak pihak yang cuba menangguk di air keruh sehingga berani mengeluarkan pelbagai tuntutan yang mencabar kontrak sosial yang telah di persetujui sebelum ini. Di Malaysia ancaman pandangan liberalis, Sosialis, Modernis dan Islamis sudah bercampur baur dan menimbulkan kekeliruan kepada umat melayu yang semakin lemah. Janganlah kita lemahkan lagi dengan memberikan hak-hak ekslusif yang Allah sudah anugerahkan kepada orang Islam menerusi al Quran. Umat Islam KD mesti berusaha keras menggarap setiap issue dengan mengambil kira semua sensitiviti masyarakat setempat tanpa mengira kaum dan agama.
Sebenarnya tidak salah untuk agama yang lain menggunakan perkataan Allah merujuk kepada tuhan mereka. Ini adalah kerana perkataan yang sama di gunakan oleh musrikin Kuffar Mekah ketika merujuk kepada tuhan mereka seperti yang di sebut di dalam Al Quran. “ Ketika ditanyakan siapakah yang menjadikan kesemuanya ini di muka bumi, mereka ( pihak musrikin ) menjawab Allah” Secara positifnya panggilan ini boleh mendekatkan mereka kepada akidah Islam yang benar . Dalam hal ini persoalannya bukanlah kerana Nas- Nas yang tidak membenarkan penggunaan kalimat Allah, Cuma kebimbangan umat Islam disebabkan kelemahan umat Islam melayu dalam memahami akidah mereka sendiri.
Pendirian dan pendekatan Islam bukanlah dengan berdasarkan istilah dan bahasa. Yang penting ialah menyebarkan kefahaman mengenai keadilan dan kerahmatan Islam kepada setiap muslim dan bukan muslim di negara ini.
Saya berpandangan bahawa selain daripada nilai iman yang ada pada istilah-istilah tersebut ia juga adalah isu penting pentadbiran dan undang-undang setempat dalam memelihara kontrak sosial di antara kaum yang telah dipersetujui sekian lama demi memelihara keamanan negara dan mengelakkan prasangka sesama kaum.
Saya tidak merasakan perkara ini perlu di selesaikan segera kerana umat Islam di KD bukanlah menerima tekanan untuk istilah ini mereka gunakan. Selama ini mereka berupaya menjaga kebajikan mereka jauh lebih baik dari kita jaga kebajikan saudara seislam kita di KD. Keutaman kita adalah untuk memperbaiki kecekapan kita bekerja agar tidak ada saudara kita yang susah dalam apa jua keaadan sekalipun yang tidak di bela.
Memandangkan badan Khairat kematian mempunyai undang-undang tubuh yang jelas yang berkait rapat diantara bantuan sumbangan dan pengurusan jenazah mengikut syariat Rasulululah, maka keanggotaannya hanyalah boleh yang terdiri daripada orang islam.
Satu pertubuhan lain boleh di tubuhkan untuk tujuan membantu mereka yang bukan Islam sekiranya perlu. Saya yakin pertubuhan kaum yang lain jauh mempunyai lebih banyak dana daripada kita. Sekiranya masih ada yang perlukan bantuan atas dasar kemanusiaan maka persatuan penduduk atau surau boleh mengambil inisiatif untuk membantu .
Saya melihat syarikat Takaful lebih sesuai dalam menyediakan pakej yang seumpama ini kepada kaum yang lain kerana konsep perniagaannya yang jelas dan teratur dengan mengambil kira keperluan syariah. Konsep bantuan untuk mereka yang masih hidup adalah konsep yang betul dan tidak bercanggah dengan kebanyakan agama di dunia. Tidak ada persoalan pertentangan nilai syariah dalam memberikan bantuan seumpama ini setelah mereka membeli pakej yang di sediakan.
Kota Damansara banyak mempunyai isu-isu modal insan yang belum selesai dan kita masih tidak mempunyai hala tuju yang jelas bagaimana masyarakat KD tanpa mengenal agama dan kaum perlu bertindak dan merangka strategi . Yang jelas kaum melayu Islam kaum majoriti di KD dan kita masih jauh kebelakang dalam segala hal berbanding dengan kaum lain.
Mari kita berusaha agar KD menjadi tempat yang aman dan di berkati untuk diduduki oleh semua masyarakat Malaysia .































