Showing posts with label Universe. Show all posts
Showing posts with label Universe. Show all posts

Tuesday, April 1, 2008

Kejadian Siang dan Malam

"chipmunk_malaysia" chipmunk_malaysia@yahoo.com

Proses kejadian alam dari pandangan al Quran

Proses kejadian alam ini satu persoalan yang menarik sejak dari
zaman dahulu hingga ke hari ini. Manusia masih ingin mencari
kepastian asal usul kejadian alam ini. Bagaimana proses kejadiannya.
Bagaimana alam ini terjadi dan diciptakan. Manusia masih tercari-
cari jawapannya. Manusia tidak jemu-jemu dengan segala usaha dan
kemahiran yang ada untuk mencari jawapannya. Ahli-ahli sains hari
ini dengan teknologi tinggi dan canggih masih terus berusaha untuk
mencari rahsia kejadian alam ini.

Allah yang menciptakan alam ini tidak membiarkan manusia untuk
mencari jawapannya kerana Dia Maha Mengetahui akan kelemahan
hambaNya. Kelemahan manusia sungguh banyak contohnya kita tidak
boleh menjelajah jauh ke seluruh pelusuk alam untuk mengetahui
keadaan sebenar seluruh alam. Apa yang manusia boleh lakukan hanya
meramalkan berdasarkan dengan sedikit ilmu yang ada pada ketika itu.
Mungkin betul dan mungkin juga salah. Oleh kerana itulah Allah telah
memberitahu manusia jawapan bagaimana dan siapa yang menciptakan
alam ini. JawapanNya diterangkan di dalam al Quraan melalui
RasulNya. Di dalam al Quraan yang suci Allah menyebutkan Dialah yang
menciptakan alam semesta ini dengan kekuasaan dan kehendakNya.
FirmanNya yang bermaksud:

"Dan Dialah menciptakan langit dan bumi dengan benar. Dan
benarlah perkataanNya diwaktu Dia menyatakan, Jadilah lalu
terjadilah', dan di tanganNyalah segala kekuasaaan diwaktu
sangkakala ditiup. Dia mengetahui yang ghaib dan yang nampak. Dan
Dialah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui"

al Anaam: 73

Allah telah menciptakan langit dan bumi ini melalui proses-proses
yang dikehendakiNya. Sebahagian daripada proses-proses kejadian alam
ini telah diterangkan oleh Allah dengan jelas di dalam al Quran.
Allah telah menerangkan bahawa kejadian langit dan bumi ini asalnya
daripada satu yang padu, kemudian dipisahkan menjadi langit dan
bumi. Firman Allah yang bermaksud:

"Dan apakah orang-orang kafir, tidak mengetahui bahawasanya langit
dan bumi itu kedua-duanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian
Kami pisahkan kedua-duanya. Dan daripada air Kami jadikan segala
suatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tidak juga beriman?

Ayat ini menerangkan asal kejadian alam semesta, terdapat tiga
maklumat penting yang terkandung di dalam ayat ini berkaitan dengan
kejadian alam semesta(Dr.Zakaria Awang Soh,1990)

~ Bahan yang membentuk alam semesta ini merupakan satu entiti (suatu
yang

wujud) tunggal.

~ Keseluruhan alam semesta, langit dan bumi adalah tercantum dalam
satu unit.

~ pemisahan berlaku secara sistematik untuk menghasilkan hukum-hukum
fizikal

dan peningkatan jirim (ordering matter)

Perkataan "ratq" membawa maksud memadukan unsur-unsur menjadi satu
jasad yang padu. Jasad yang padu inilah yang menjadi asal mula alam.
Perkataan "fatq" membawa maksud dipisahkan atau dipecahkan. Jasad
yang padu tadi kemudiannya melalui proses pemisahan. Bagaimana
proses pemisahan itu tidak dapat dijelaskan. Jika dilihat kepada
alam semesta yang wujud hari ini menggambarkan proses pemisahan ini
berlaku dalam satu kuasa pemisahan yang sungguh hebat dan amat kuat.

Proses pembentukan alam ini berlaku secara bertahap-tahap selepas
dari pemishan itu. Hal ini seperti yang disebut di dalam alQuraan
yang bermaksud;

"Kemudian Dia menuju kepada penciptaan langit dan langit itu masih
merupakan asap lalu Dia berkata kepadaNya dan bumi, Datanglah
kamu keduanya menurut perintahKu dengan suka hati atau terpaksa
keduanya menjawab 'kami datang dengan suka hati' Maka Dia
menjadikan tujuh langit dalam masa dua masa dan Dia mewahyukan pada
tiap-tiap langit urusannya. Dan kami hiasi langit yang dekat
dengan bintang yang cemerlang dan Kami perliharanya dengan
sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan yang Maha Perkasa lagi Maha
Mengetahui."
Fushilat : 11-12

Seluruh proses kejadian alam ini berlaku secara sistematik dengan
ukuran yang rapi dan tepat seperti yang disebut di dalam alQuraan

"Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir
(yang telah ditentukan). "

AlQamar :49

Manakala alam semesta yang diciptakan oleh Allah ini sentiasa
mengembang atau keluasan alam ini sentiasa bertambah dari masa
kesemasa. Ini bermaksud segala apa yang ada di alam ini sentisa
bertambah terhadap masa. FirmanNya bermaksud:

"Dengan kemahiran dan kekuasaan Kami, Kami bangunkan langit dan
Kami kembangkannya"

Azariat : 4

Putaran bumi

Kita semua dapat hidup di atas muka bumi ini kerana bumi berputar di
atas paksinya dalam tempoh 24 jam sehari. Cuba bayangkan sekiranya
bumi ini tidak berputar, mustahil kita dapat hidup dengan aman dan
sentosa di permukaan bumi.

Dari putaran inilah terjadinya siang dan malam. Permukaannya yang
menghadap matahari akan mengalami siang manakala permukaan yang
membelakangkan matahari akan menjadi malam. Seandainya bumi tidak
berputar maka sudah tentu bahagian yang menghadap matahari akan
menjadi siang selama-lamanya hingga hari kiamat dan begitulah
sebaliknya.

Apakah yang akan terjadi sekiranya siang berlaku terus menerus?
Sudah pasti keadaan udara dan hawa dari saat ke saat, dari minit ke
minit dan dari jam ke jam akan menjadi bertambah panas. Dalam
tempoh 100 jam sahaja udara akan mencapai takat didih 100�C sehingga
lautan, tasik, danau, sungai dan sebagainya akan mendidih dan
menggelegak. Cuba anda bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya
seluruh sungai, danau dan samudera mendidih airnya? Begitu juga
darah yang mengalir di dalam tubuh kita juga turut mendidih. Dalam
keadaan sedemikian, tidak ada satu pun makhluk yang dapat hidup.
Semuanya akan mati dan musnah menjadi debu-debu yang berterbangan.

Apa pula yang akan terjadi sesudah 100 jam atau 1000 jam berikutnya?
Bukan sahaja semua ini akan mendidih, bahkan semua permukaan bumi
ini sama ada benda-benda pepejal atau sebagainya, akan menjadi bara
api yang tersangat panas. Ketika itu, bukan setakat manusia sahaja
akan mati terbakar malahan bumi ini sendiri akan terbakar menjadi
debu dalam sekelip mata sahaja.

Kemudian apa pula yang akan terjadi sekiranya waktu malam berlaku
terus menerus sehingga hari kiamat? Hawa dan udara dari saat ke saat
dan seterusnya dari jam ke jam akan terus bertambah dingin sehingga
dalam tempoh 100 jam sahaja akan mencapai takat 0�C sehingga seluruh
air dan benda yang cair akan membeku menjadi ais yang pejal dan
keras. Mungkin di saat itu, manusia dan binatang-binatang masih
dapat hidup seperti keadaan di Kutub Utara dan Selatan. Namun
begitu, bagaimana pula keadaannya sesudah 100 jam atau 1000 jam
berikutnya? Apabila udara dan suhu menjunam turun ke bawah paras 0�C
maka sudah pasti akan lenyaplah segala kehidupan di muka bumi ini.

Kedua-dua ibarat ini harus kita fikirkan sedalam-dalamnya untuk
melihat betapa hebatnya kekuasaan Allah dan juga perlindungan- Nya
yang diberikan untuk kehidupan setiap makhluk khasnya kita sebagai
manusia yang dikurniakan akal fikiran yang sempurna. Firman Allah
s.w.t. yang bermaksud:

"Katakan pula, bagaimanakah pendapat kamu sekiranya Allah menjadikan
siang terus menerus sampai hari kiamat? Siapakah selain Allah yang
akan mendatang malam kepadamu yang kamu dapat beristirehat padanya?
Maka apakah kamu tidak memperhatikannya? Dan kerana rahmatnya-Nya,
Dia jadikan untuk kamu malam dan siang supaya kamu beritirehat pada
malam itu dan supaya kamu mencari sebahagian dari kurniaan-Nya (pada
siang hari) dan agar kamu bersyukur kepada-Nya."

(Al-Qasas: 72-73)

Dengan adanya putaran bumi siang dan malam maka keadaan hawa di
permukaan bumi ini menjadi seimbang dan sederhana iaitu tidak
terlalu panas dan tidak terlalu dingin. Sehingga manusia, haiwan-
haiwan dan tumbuh-tumbuhan dapat hidup dengan selesa di permukaan
bumi ini.

Ya... semamangnya kita harus renungkan siapakah lagi selain Allah
yang dapat memutarkan bumi sebesar ini? Iaitu planet yang berukur
lilit 40,003 km dan beratnya beribu-ibu juta tan itu. Perkara ini
hendaklah kita fikirkan sedalam-dalamnya. Seterusnya hendaklah kita
selalu mengingati dan berterima kasih kepada Allah s.w.t. Janganlah
kita sekali-kali menjadi orang-orang yang seakan-akan tidak
mendengar dan melihatnya sedangkan kita mempunyai telinga, mata dan
akal untuk bersyukur memuji-Nya.

Peredaran Bumi Mengelilingi Matahari
Selain daripada berputar atas paksinya, bumi juga berputar
mengelilingi matahari dalam lingkaran orbitnya yang amat luas.
Ingatlah bahawa jarak antara bumi dengan matahari adalah 149,000,000
km dan putarannya mengambil masa selama 365� hari iaitu setahun
mengikut perkiraan kita.

Semasa beredar mengelilingi matahari, bumi akan berputar di atas
paksinya dalam berkeadaan condong. Maka sesetengah negara yang
terletak jauh dari garisan khatulistiwa akan lebih terdedah kepada
cahaya matahari lalu jadilah musim panas ataupun kurang menerima
cahaya matahari lalu jadikan musim sejuk. Sebagai akibat daripada
pergantian musim ini terjadilah pelbagai jenis tumbuhan dan buah-
buahan di permukaan bumi ini yang menjadi nikmat dan hikmah yang
amat besar kepada seluruh kehidupan di muka bumi.

Begitulah keadaannya dari semasa ke semasa dan silih berganti tanpa
henti-henti sehingga hari kiamat... akibat peredaran bumi di
sekeliling matahari. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"... Dan engkau lihat bumi ini kering tetapi setelah kami turunkan
air (hujan) padanya, ia menjadi lembut dan subur dan menumbuhkan
pelbagai macam tumbuhan dan buah-buahan yang cantik dan lazat."

(Al-Hajj: 5)

Firmannya lagi yang bermaksud:

"Dan kami hamparkan bumi itu dan kami letakkan padanya gunung-ganang
yang kukuh dan kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang
indah dipandang mata."

(Qaaf: 7)

Jarak Di Antara Bumi Dengan Planet-Planet Lain

Kita sudah pun mengetahui jarak di antara bumi dengan matahari dan
semamangnya telah dapat dibuktikan menerusi sains dan nas-nas Al-
Quran bahawa jika jarak itu berubah sedikit sahaja maka terjadilah
kerosakan yang amat dahsyat di bumi.

Sekiranya bumi mendekati matahari dengan kadar lebih atau kurang
dari jarak yang sedia ada sekarang maka sudah pasti akan berlaku
mala petaka dan bencana-bencana alam yang tidak terkira dahsyatnya.
Begitulah juga bulan dan planet-planet lain, sekiranya terkeluar
sedikit dari orbitnya sama ada terlebih atau terkurang nescaya akan
berlanggaran antara satu sama lain.

Jarak tertentu yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. bagi bumi di tengah-
tengah angkasa raya dan cakerawala-cakerawa la ini merupakan
perlindungan- Nya yang sangat besar faedah dan manfaatnya kepada
seluruh kehidupan di muka bumi. Lebih-lebih lagi untuk kehidupan dan
kesejahteraan hidup manusia. Semuanya ini harus kita renungkan.
Jangan sekali-kali kita gunakan akal dan fikiran semata-mata untuk
perkara-perkara yang kecil dan remeh sahaja seperti soal makan,
pakaian, perhiasan dan sebagainya. Mengapa kita tidak gunakan
keupayaan sebenar akal yang dikurniakan Tuhan iaitu untuk merenung
alam ciptaan-Nya seterusnya mendatangkan kesedaran, keyakinan dan
kegerunan kepada kebesaran Allah s.w.t. Ini selanjutnya dapat
membina sikap dan akhlak yang sentiasa bertunjangkan ajaran Islam
dan syariatnya. Menggunakan akal sedemikian barulah memberi faedah
yang sebenar-benarnya kepada manusia yang membawa kepada kebahagiaan
hidup dan jauh daripada amalan atau perbuatan yang merosakkan.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah
permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah
antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan
anak... Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang
menipu."

(Al-Hadid : 20)

Jika kita renungkan sedalam-dalamnya bahawa setiap bintang dan
planet itu bebas bergerak di angkasa raya, bergerak dan berputar
dari abad ke abad, masing-masing tetap pada jaraknya yang tertentu
maka sedarilah betapa hebatnya kukuasaan Allah s.w.t. dalam mengatur
segalanya sehingga saling tidak berlanggaran. Firman Allah s.w.t.
yang bermaksud:

"Matahari berjalan di tempat yang ditetapkan baginya. Demikianlah
Allah Yang Maha Gagah Lagi Maha Mengetahui. Sedangkan bulan kami
tentukan baginya tempat yang tertentu sehingga ia kembali berbentuk
seperti pelepah kurma yang kering (bulan sabit). Tiadalah matahari
mendekati bulan dan tidak pula malam mendahului siang sedang
semuanya beredar pada garis edarannya (orbit)."

(Yassin : 38-40)

Ulul Albab

"chipmunk_malaysia" chipmunk_malaysia@yahoo.com

Merenung kejadian Alam Cakerawala

Ulil Albab adalah gulungan yang diistimewakan dan yang disebut Allah
di dalam AlQuraan. Sebanyak 16 kali disebut di dalam AlQuraan. Ulil
Albab menggunakan kurniaan akal untuk merenung setiap kejadian di
alam semesta yang maha luas ini.

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya
malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi Ulil Albab (orang yang
berakal)" AlImran :190

Imam AlGhazali menyatakan Sungguh, jalan untuk mengenal Allah
(ma'rifatullah) dan mengagungkanNya itu adalah dengan cara
memikirkan setiap mahlukNya, merenungkan keajaiban-keajaiban dan
memahamkan hikmah-hikmah yang terkandung dalam segenap ciptaanNya.

Al Quraan menjelaskan bahawa alam dan segala kandungannya adalah
dicipta oleh Maha Pencipta, Allah. Dia telah memerintahkan kepada
orang yang dikurniakan akal fikiran itu agar mengamati kejadian di
alam cakerawala ini. Firman Allah yang bermaksud:

Katakanlah : Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi.."
Yunus:101

Allah bukan sahaja Pencipta Alam tetapi juga memelihara, mengawal
dan mengurus segala juzuk alam dari sekecil-kecil hingga yang
sebesarnya. Semuanya tunduk kepada hukum dan peraturan yang telah
ditetapkan.
Lihat bagaimana Allah memerlihara perjalanan matahari yang bersaiz
99.9% dari saiz objek-objek sistem suria, mengharungi alam
cakerawala di orbitnya sejak dari mula ia diciptakan hingga ke hari
ini dan akan datang. Allah juga yang mengawal dan mengurus tentang
proses penghasilan tenaga matahari melalui proses tindakbalas
nuklear setiap saat sebanyak 4 x 1026 Joule sesaat menyamai 100
bilion 1 megaton bom nuklear. Tenaga yang hebat ini dibebaskan
setiap saat sejak dari zaman dahulu hingga kini dan akan datang.
Bagaimana pula kehebatan Pencipta yang mengatur perjalanan siang dan
malam. Bagaimana bahagian malam akan menutup bahagian siang bumi
dengan kelajuan 1700 km sejam (470 meter sesaat) dalam tempoh 24
jam. Setiap bahagian bumi mendapati siang dan malam mengikut
kadarnya yang tertentu. Bagaimana teliti dan hebat, Bumi yang besar
dengan diameter 12,756 km beredar laju dengan kelajuan 30 km sesaat
mengelilingi matahari sejauh 960,000,000 km dalam masa 365.25 hari.
Begitu juga bulan bagaimana teratur dan telitinya ia beredar
mengelilingi bumi dengan kelajuan 61.8 km sejam tanpa terlewat atau
tercepat dari masa yang ditetapkan.

Maklumat di atas yang ditemui melalui kajian sains menunjukkan
betapa jitu kuantiti setiap gerakan tersebut. Jika difikir dan
direnung dengan akal yang waras sudah tentu keadaan sebegitu berlaku
melalui satu perancangan dan pentadbiran yang teliti dan tidak
mungkin hal tersebut berlaku dengan sendirinya.