Showing posts with label Wealth. Show all posts
Showing posts with label Wealth. Show all posts

Saturday, April 12, 2008

Usah kikir, sombong jika diberi kekayaan

"Klk Grp" klk_grp@yahoo.com

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

SESUNGGUHNYA Islam tidak pernah menghalang hambanya
mencari harta benda dan kekayaan yang menjadi lambang
serta kayu ukur kesenangan hidup manusia di dunia.
Bahkan, mencari kesenangan adalah satu keperluan demi
membina kehidupan sempurna dan sewajarnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mencari kerja
yang halal itu adalah fardu selepas fardu." (Hadis
riwayat Bukhari)

Insan yang waras fikirannya sudah tentu tidak ingin
hidup dalam keadaan susah, tersepit dan miskin.
Lantaran itulah mereka sanggup bertungkus-lumus,
membanting tulang tanpa mengira penat dan waktu.

Ingin menjadi kaya raya, memiliki harta yang banyak,
tanah luas, kereta mewah, juga bukan halangan atau
satu kesalahan salam syariat jika kita mampu. Namun
Islam tetap memberi peringatan supaya manusia tidak
lalai dan hanyut dengan hartanya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dijadikan indah pada
(pandangan) manusia kecintaan kepada apa yang diingini
iaitu wanita, anak, harta yang banyak daripada emas
dan perak, kuda pilihan, binatang ternak, ladang
sawah. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi
Allahlah tempat kembali yang baik (syurga)." (Surah
Ali Imran, ayat 14)

Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa memiliki
kesenangan di dunia perkara yang dituntut asalkan
memenuhi beberapa syarat iaitu mempunyai niat baik
untuk mensyukuri nikmat, selalu merendah diri kepada
Allah dan sesama manusia serta tidak menghamburkan
harta melampaui batas.

Mempunyai niat baik untuk dapat bersyukur

Pelbagai bentuk kesenangan yang dikurniakan Allah,
sesungguhnya bukanlah untuk dibangga dan dimegahkan,
tetapi untuk disyukuri. Demikianlah sifat orang Islam
yang beriman. Tetap menganggap kesenangan dimilikinya
itu kurniaan Allah, bukan hasil dan usahanya atau
kepandaiannya.

Disebabkan itu, mereka senantiasa memanjat syukur
kepada-Nya. Allah sudah memberi jaminan keuntungan
besar bagi orang yang mahu bersyukur dengan nikmat-Nya
seperti terakam dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan
siapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan
baginya kebaikan pada kebaikannya itu. Sesungguhnya
Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri." (Surah
Asy-Syura, ayat 27)

Menurut A Aziz Salim Basyarahil dalam bukunya 33
Masalah Agama, yang dimaksudkan dengan Allah
mensyukuri hamba-Nya ialah memberi pahala terhadap
amal hamba-Nya, memaafkan kesalahan dan mengampunkan
dosanya dan menambah nikmat kepada hamba-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya jika
kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat)
kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka
sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Surah Ibrahim,
ayat 7)

Selalu merendah diri kepada Allah sesama manusia

Walaupun sudah memiliki kekayaan yang melimpah ruah
dan dapat menikmati kesenangan hidup secukupnya di
dunia, seorang Muslim sejati terus menghambakan diri
kepada Allah bahkan semakin bertambah dekat dirinya
kepada Allah.

Imannya ketara meningkat dari semasa ke semasa. Tidak
pernah disibukkan dengan kemewahan dan kerja berkaitan
kekayaan yang digenggam. Lantaran dia tahu semua itu
adalah kepunyaan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan apakah alasanmu
tidak menafkahkan hartamu pada jalan Allah, sedangkan
kepunyaan Allahlah warisan langit dan bumi." (Surah
al-Hadid, ayat 10)

Begitu juga terhadap sesama manusia, mereka tidak
sombong dan membanggakan diri dengan kemewahan menjadi
miliknya. Malah, sentiasa merendah diri, apa lagi
kepada orang yang tidak bernasib baik, miskin dan
dikepung kesempitan hidup.

Apabila ada saja peluang, ruang buat menabur bantuan
atau pertolongan kepada manusia lain, dia tetap
mengutamakan mereka terlebih dulu. Lantaran ia yakin
dengan kekayaan dibelanjakan itu hartanya tidak akan
berkurang dan kedudukannya pula sangat mulia di sisi
Allah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Harta tidak akan
berkurang dengan sedekah, dan Allah tidak menambah
kepada hamba-Nya yang memaafkan melainkan kemuliaan,
dan tidak tawaduk seseorang kepada Allah melainkan
Allah menaikkannya. " (Hadis riwayat Muslim)

Orang yang apabila memiliki kekayaan, jika imannya
tipis, sudah tentu akan bersifat kikir, lupa kepada
tanggungjawabnya terhadap Allah dan tidak menghiraukan
masyarakat sekeliling. Orang angkuh seperti itu sudah
tentu dimurkai Allah dan mendapat pembalasan setimpal
daripada-Nya.

Lihatlah sejarah hidup Qarun, dimusnahkan Allah
bersama harta kekayaannya sebagaimana terungkap dalam
firman-Nya yang bermaksud: "Dan Kami benamkan Qarun
berserta rumahnya." (Surah al-Qashas, ayat 81).