Thursday, May 1, 2008

FIQAH DAULAH DALAM PERSPEKTIF AL-QURAN DAN SUNNAH

Abu_Nidhal@

Oleh Dr Yusuf al-Qardhawy

3. TABIAT DAULAH DALAM ISLAM

Lingkaran Sekularisme

Lingkaran yang juga mesti dihentikan adalah seperti yang dikatakan Dr Kamal Abul-Majdi dalam masalah "Islam dan Arabisme", iaitu lingkaran sekularisme yang memisahkan agama dari kehidupan dan masyarakat, yang pernah tumbuh bukan di negara kita, bukan di tengah kaum kita, dalam keadaan yang sama sekali tidak ada persamaan dengan keadaan kita.

Masyarakat Barat mengajak kepada sekularisme untuk menghadapi para pemimpin gereja di barat yang berdiri antara kejumudan yang berhadapan dengan pemikiran, antara kebodohan yang berhadapan dengan ilmu, antara raja yang berhadapan dengan rakyat, antara orang-orang kaya feudal yang berhadapan dengan orang-orang buruh yang miskin.

Sementara di tengah kita tidak ada paderi dan pendeta, tidak ada istilah "Para pemimpin agama", yang apa pun dihalalkannya di bumi juga dihalalkan di langit, yang apa pun diikatnya di bumi juga terikat di langit.

Telah kami jelaskan dalam sebuah kajian bahawa sekularisme di Barat memiliki legitimasi (bukti pengesahan) dari pemikiran falsafahnya semenjak zaman Aristoteles, yang berpendapat bahawa Allah tidak mempunyai hubungan dengan alam, tidak mengetahui apa yang terjadi di dalamnya, tidak mengatur urusan apa pun di dalamnya. Di antara pemikiran agama yang disebutkan secara nyata dalam teksnya, memang menguatkan adanya pembahagian kehidupan antara Allah dan Kaisar, membiarkan apa yang menjadi bahagian Kaisar bagi Kaisar, dan membiarkan apa yang menjadi bahagian Allah bagi Allah.

Sekularisme menurut kita adalah bertentangan dengan agama, bertentangan dengan pemikiran umat dan kemaslahatannya. Kerana sekularisme ini melepaskan umat dari pelbagai potensi yang amat besar, yang memancar dari akidah dan syariat. Jika akidah boleh disebut sebagai pengarah, maka syariat boleh disebut sebagai pemimpin atau penguasa.

Beberapa negara Islam pernah mencuba menerapkan sekularisme, memaksa rakyatnya untuk tunduk, dengan menggunakan kekuatan pedang dan seksaan cambuk, dengan alasan untuk mensejajarkan diri dengan masyarakat Barat yang sudah maju dan dunia yang terus berkembang. Lalu benarkah negara tersebut benar-benar boleh maju dan berkembang?

Contoh yang paling nyata untuk masalah ini adalah Turki semasa Kamal Attaturk, yang meniru Barat dalam segala hal, seperti pemakaian tali leher, larangan memakai tarbus (topi khas Turki). larangan wanita mengenakan hijab, penghentian penerapan hukum-hukum syariat yang konkrit, termasuk juga dalam masalah perkahwinan, penceraian, hukum waris dan masalah-masalah keluarga. Rakyat semakin tersepit tidak berdaya menjalankan warisan peninggalan mereka tatkala ada larangan menggunakan huruf Arab, yang diganti dengan huruf latin, memutuskan hubungan dengan dunia Islam secara umum dan dunia Arab secara khusus. Bahkan azan dengan menggunakan bahasa Arab pun dianggap sebagai kejahatan.

Lalu apa hasilnya? Pemerintah Turki tidak mampu menamatkan akar-akar Islam, sekalipun hampir semua disingkirkan dari pendidikan, pengajaran dan media massa, sehingga rakyat hidup dalam pergolakan antara permukaan dan kedalaman, antara akar dan daun, antara masa lalu dan masa sekarang, antara akidah dan kenyataan. Akhirnya Turki yang dinyatakan seorang penulisnya, "Dulu kami menjadi negara di jajaran pertama di Timur, tapi kini kami menjadi negara di jajaran terakhir di Barat."

Sekalipun Turki sudah menggabungkan diri dalam rangkulan dunia Barat, namun tetap saja orang-orang Barat tidak mahu mengakui negara Turki sebagai anggota pertubuhannya dan sebahagian dari peradabannya. Oleh kerana itu Turki tidak diterima sebagai anggota masyarakat Ekonomi Eropah. Secara nyata hal ini dinyatakan dalam Parlimen Jerman, "Turki lebih dekat dengan peradaban yang bukan peradaban kita."

Turki yang sekular ini boleh diibaratkan kisah burung gagak yang hendak meniru burung rajawali. Dia tidak berdaya menjadi burung rajawali dan tidak layak pula untuk kembali lagi menjadi burung gagak.

[ Komen saya: Untuk makluman, buku ini diterbitkan pada tahun 1996, jadi gambaran tentang Turki di atas adalah pada sekitar tahun tersebut dan sebelumnya. Namun perkembangan di Turki sejak kebelakangan ini di bawah Perdana Menterinya Recep Tayyip Erdoğan dan Presiden Abdullah Gül agak menarik perhatian kita sebab mereka sedang cuba kembali kepada Islam secara perlahan-lahan, walaupun dibantah oleh puak sekular. Ketika pilihanraya mereka diadakan, media sengaja fokus kamera kepada rakyat-rakyatnya yang keBaratan untuk menunjukkan kononnya sekular di negara itu masih kuat, namun akhirnya keputusan pilihanraya berpihak kepada pro-Islam. Inilah sebenarnya yang majoriti rakyat Turki kehendaki. Maka benarlah kata-kata ulama yang mengatakan bahwa pasti akan ada para pejuang agama Allah walaupun di mana mereka berada dan walau bagaimana sekalipun mereka ditindas, tunas-tunas Islam pasti tetap tumbuh. Sifat-sifat para pejuang ini dicatatkan Allah seperti dalam Surah Al-Ahqaaf: 13, “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap istiqamah, maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka tiada (pula) berduka cita.” ]

No comments: