![]() |
| Mohd. Irfan Sonny Abdullah. |
LUMRAH makhluk yang bergelar manusia, tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki. Oleh itu, apabila musibah dan dugaan melanda maka hati dan jiwa mudah terguris, kecewa sehingga membawa kepada putus asa.
Tekanan yang tiada henti ini sedikit sebanyak mengugat ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan seseorang itu.
Hakikatnya, setiap individu manusia itu paling mendambakan ketenangan jiwa. Ini kerana dengannya, kita memperoleh ketenteraman, kepuasan, mensyukuri nikmat, semangat juang malah kekuatan dalaman dalam menghadapi ranjau kehidupan.
Salah satu rahsia yang dikongsi oleh Imam al-Ghazali, �Kebahagiaan yang sebenar lagi utama terletak pada kemenangan dalam memerangi hawa nafsu dan menahan kehendak-kehendak yang berlebih-lebihan�.
Kalau diamati ungkapan di atas, pastinya kebenaran jelas terbukti menerusi kisah pengislaman anak muda kelahiran Lawas, Sarawak, Sonny Mulong kira-kira tiga tahun lalu.
Apa tidaknya, akui Sonny hanya setelah bergelar Muslim, jiwanya benar-benar merasai nikmat tenteram dan aman yang sukar diluahkan dengan kata-kata.
Sedangkan, sebelum itu telah banyak cara beliau lakukan semata-mata inginkan kebahagiaan yang hakiki.
�Boleh dikatakan pencarian dalam kehidupan saya ialah tentang erti sebenar ketenangan. Bila berada di dalam lingkungan agama asal dahulu pun sukar saya temui ketenangan. Saya pernah mencarinya menerusi aktiviti yang tidak sihat seperti menjadikan minuman keras sebagai teman penenang.
Sayangnya, itu juga tidak berkesan.
�Saya rasakan hidup saya ini penuh kekosongan. Bagai ada yang tidak terisi terutamanya dalam naluri kejiwaan. Semua yang dilakukan, bagai tidak kena caranya. Namun, yang pasti, apabila sahaja terdengar laungan azan, hati ini tiba-tiba menjadi tenang, sekali gus menjadi titik tolak kepada pengenalan Islam secara lebih mendalam,� jelas Sonny dalam satu pertemuan di Masjid Saidina Abu Bakar di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah Sonny, 27, yang memilih nama Mohd. Irfan Sonny Abdullah sebaik mengucap syahadah di ibu pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) pada 31 Januari 2005, pengetahuannya tentang agama Islam bukanlah baru serta cetek.
Sebenarnya, sejak di bangku sekolah rendah lagi, beliau telah terdedah dengan pelajaran agama Islam. Ditambah pula, ramai kalangan teman-teman sepermainan dan sekolahnya adalah terdiri daripada mereka yang beragama Islam meskipun berbeza kejiranan.
�Pada masa itu alunan azan menjadi tarikan awal saya kepada agama Islam, waima saya langsung tidak memahami pengertiannya. Waktu itu, alunannya yang mendayu-dayu begitu mengasyikkan dan membuat kita rasa segar.
�Apabila melangkah ke peringkat sekolah menengah, saya mula berani bertanya soalan-soalan yang lebih serius tentang Islam kepada teman-teman yang beragama Islam. Persoalan saya berkisar tentang tuhan Allah, terjemahan dan tujuan azan serta perbandingan agama Islam dengan agama kepercayaan saya pada masa itu.
�Namun, selepas menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya berhijrah ke Semenanjung Malaysia pada 1997. Dua tahun kemudian, semangat dan keazaman saya mendekati Islam boleh dikatakan membara. Ini kerana, menerusi pergaulan yang lebih meluas dengan masyarakat Melayu Islam dan mula diperkenalkan kepada Perkim,� cerita anak sulung daripada tiga beradik dari keturunan Murut ini.
Kata Mohd. Irfan lagi, walaupun sudah mengikuti beberapa siri kelas di Perkim, hatinya masih teragak-agak untuk memilih Islam. Pun begitu, bila memikirkan perjalanan kehidupan yang tidak berubah atau statik dan sentiasa tidak tenang, menyebabkan beliau nekad dengan pilihan untuk bergelar Muslim waima merahsiakannya daripada ahli keluarga atau menerima tentangan hebat mereka.
Membahayakan
�Saya mula terfikir, sampai bila hidup saya harus terus di dalam lara serta melakukan perkara yang tidak berfaedah dan membahayakan kesihatan diri? Kalaulah Allah ambil nyawa saya bila-bila masa, tentu saya di dalam kerugian kerana sudah tahu kesyumulan Islam.
�Mungkin apa yang menjadi penghalang pada masa itu ialah bagaimana reaksi kedua orang tua saya dan bagaimana saya hendak berhadapan dengan mereka bila digelar anak derhaka dan sampai bila mereka akan menyisihkan saya.
Saya tidak mahu, dianggap hendak peluk Islam kerana perkahwinan atau terburu-buru.
�Soal bertukar agama kepercayaan, bukanlah perkara main-main atau kecil. Sebaik bergelar Muslim, kita kena ada komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada Allah Yang Esa, rasul, nabi, kitab dan ajarannya. Menjadi murtad, nauzubillah...,� azam Mohd. Irfan yang tidak akan berpatah balik dan bergelar Muslim sejati menjadi tunggak utama.
Apabila keputusan dibuat, saya memberitahu makcik yang boleh dikatakan bersikap terbuka. Itupun selepas dua bulan pengislaman. Beliau menerima dan menasihatkan saya supaya biarlah apa agama yang dipilih, perlu ada keyakinan yang jitu, bukan separuh jalan.
�Allah sahaja yang mengetahui keresahan dan betapa gemuruhnya perasaan bila berhadapan detik bersejarah itu. Namun, semuanya menjadi lega apabila saya memikirkan hasrat dan keinginan itu lahir daripada rasa keikhlasan, keyakinan dan tanpa paksaan.
�Alhamdulillah, apabila selesai melafazkan syahadah ketenangan yang saya cari selama ini benar-benar dirasai dan kegembiraan itu hanya Allah yang Lebih Mengetahui. Malah perasaan bimbang dengan reaksi keluarga hilang begitu sahaja dan digantikan dengan semacam satu semangat dan keyakinan.
�Dalam berahsia itu, saya mula ikuti kurus-kursus motivasi, pemantapan akidah dan banyak lagi bagi membantu pengukuhan ilmu Islam di dada. Saya ada menerima panggilan telefon daripada bapa yang meluahkan rasa marahnya dengan perlakuan saya yang membelakangkan mereka,� cerita Mohd. Irfan yang tidak pernah berputus asa menjaga hubungan meskipun menerima layanan dingin mereka.
Paling beliau terasa apabila perkahwinannya dengan gadis pilihan, Nor at-Tahirah Ismail turut diterima dingin. Pun begitu, air dicincang tidak akan putus, akhirnya kedinginan hubungan mereka menjadi erat kembali dua tahun kemudian.
Sikap berdiam dirinya serta mengakui kesalahan diri sedikit sebanyak melembutkan hati ahli keluarga yang lain. Bagi Mohd. Irfan diam bukannya kosong, suatu hari kelak akan dijelaskan mengapa Islam menjadi pilihan serta Islam membawa perubahan yang positif bukan sebaliknya.
Pasangan muda ini kini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Mohd. Isma Israf, 11 bulan.


No comments:
Post a Comment