Tuesday, January 8, 2008

Hadith: Antara Terjemahan dan Huraian

ctumi2000 ctumi2000@yahoo.com


Saya dan beberapa orang sahabat ketika mana kami mendengar kuliah
sama ada di televisyen, radio atau menghadiri kuliah, malah ketika
berbual dengan rakan-rakan, pernah bertemu dengan orang-orang yang
tersalah dalam memberi maksud hadith. Sebabnya ialah kerana diri
yang menyebut hadith itu tidak merujuk kepada huraian sesuatu hadith
daripada pelbagai sumber rujukan. Mungkin isu ini dianggap kecil
sekiranya kita hanya berbual dan berbincang sesama kita. Tetapi
terkadang ia berlaku dalam satu majlis yang dihadiri oleh ramai
orang dan kesemuanya akan pulang ke rumah mereka masing-masing
dengan membawa maksud yang tidak tepat terhadap hadith Rasulullah
SAW. Malah ia juga mungkin berlaku dalam penulisan artikel atau buku
yang dibaca oleh ramai pencinta ilmu. Bayangkan kesan yang akan
berlaku dalam jangka masa yang panjang.

HADITH : ANTARA TERJEMAHAN DAN HURAIAN
oleh: ustaz Adlan Abdul Aziz (ali tantawi) , ketua Jabatan Hadis
www.al-ahkam. net

Jalan yang paling ringkas untuk memahami sesuatu teks hadith
(b.arab) adalah dengan melihat terjemahannya di dalam mana-mana buku
terjemahan sama ada buku terjemahan yang khusus (terjemahan Sahih al-
Bukhari, terjemahan hadith 40 al-Nawawi) atau terjemahan penulis
buku sendiri ketika beliau menyebut sesebuah hadith. Malah ada yang
mahir dalam Bahasa Arab kadangkala boleh menterjemahkan hadith itu
dengan hanya melihat lafaznya di dalam Bahasa Arab.

Manakala jalan yang lebih teliti ialah dengan mencari huraian
terhadap maksud hadith tersebut. Huraian selalunya akan memberikan
maklumat yang lebih jelas terhadap maksud sesebuah hadith berbanding
terjemahannya sahaja. Huraian hadith telah ditulis oleh ulama-ulama
hadith sepanjang zaman. Ia merupakan satu amalan para ulama yang
berterusan sejak dahulu hingga kini sama ada dalam buku-buku yang
tebal atau nipis.

Saya pasti tidak ada sesiapa yang boleh menafikan bahawa di antara
terjemahan dan huraian, pasti huraian merupakan jalan yang lebih
baik dalam memahami sesuatu hadith. Malah dalam memahami ayat-ayat
Al-Quran pun kita akan dapat melihat perbezaan di antara terjemahan
dan huraian (tafsir).

Di dalam masyarakat kita di Malaysia, kita amat beruntung kerana
masih wujud ramai orang-orang berilmu (tidak kira tinggi atau rendah
ilmunya) yang bersemangat untuk menyampaikan hadith-hadith
Rasulullah SAW kepada masyarakat di sekelilingnya. Bahkan semangat
yang tinggi dalam membaca hadith-hadith itu serta menghafaznya tidak
boleh dipandang remeh. Namun, terdapat beberapa kesilapan yang
berlaku pada sebahagian mereka.

Di antara kesilapan itu ialah tidak merujuk huraian atau `syarh'
sesuatu hadith tetapi cukup dengan membaca terjemahannya sahaja.
Sikap ini merupakan perkara negatif yang dilakukan oleh mereka yang
tidak menguasai Bahasa Arab dan juga dilakukan oleh mereka yang
menguasai Bahasa Arab. Sikap ini memberikan imej negatif daripada
beberapa sudut:

Pertama, ia mungkin memberikan gambaran bahawa orang-orang yang
menyebarkan hadith agak malas dalam membuat rujukan dan berpada
hanya dengan melihat maksud hadith dengan jalan terjemahannya
sahaja.

Kedua, ia mungkin akan membuka jalan ke arah salah faham maksud
sebenar Rasulullah SAW di dalam hadith-hadith Baginda. Ini kerana
sesuatu hadith mestilah dilihat secara bersama dengan hadith-hadith
sahih yang lain untuk mendapatkan maksud yang tepat.

Ketiga, ia mungkin memberikan gambaran bahawa ilmu hadith ini
terlalu mudah dan boleh dikuasai oleh sesiapa sahaja, asalkan
dirinya mempunyai sumber rujukan terjemahan hadith.

Saya dan beberapa orang sahabat ketika mana kami mendengar kuliah
sama ada di televisyen, radio atau menghadiri kuliah, malah ketika
berbual dengan rakan-rakan, pernah bertemu dengan orang-orang yang
tersalah dalam memberi maksud hadith. Sebabnya ialah kerana diri
yang menyebut hadith itu tidak merujuk kepada huraian sesuatu hadith
daripada pelbagai sumber rujukan. Mungkin isu ini dianggap kecil
sekiranya kita hanya berbual dan berbincang sesama kita. Tetapi
terkadang ia berlaku dalam satu majlis yang dihadiri oleh ramai
orang dan kesemuanya akan pulang ke rumah mereka masing-masing
dengan membawa maksud yang tidak tepat terhadap hadith Rasulullah
SAW. Malah ia juga mungkin berlaku dalam penulisan artikel atau buku
yang dibaca oleh ramai pencinta ilmu. Bayangkan kesan yang akan
berlaku dalam jangka masa yang panjang.

Sebagai contoh, terdapat hadith-hadith yang diterjemahkan dengan
maksud : `tidak beriman seseorang dari kamu sehinggalah ia
melakukan�'. Adakah maksud hadith ini seseorang itu belum dikira
beriman sehinggalah ia melakukan perkara tersebut? Para ulama telah
menghuraikan maksud hadith itu dengan panjang lebar dan didapati
bahawa pendapat yang disebutkan oleh ulama hadith sepanjang zaman
tidak hanya terhad kepada makna `tidak beriman' malah maksudnya yang
dihuraikan antaranya ialah `tidak sempurna iman'.

Begitu juga dengan hadith-hadith yang memberi amaran bahawa jika
melakukan perkara tertentu, ia adalah syirik. Adakah perkara-perkara
itu kesemuanya menjerumuskan seorang muslim ke dalam syirik dengan
maksud menyekutukan Allah SWT? Sedangkan ulama (dalam huraian
hadith) menyebutkan antara maksudnya ialah perkara tersebut adalah
perbuatan syirik tetapi pelakunya tidak keluar daripada Islam,
tetapi tetap melakukan dosa yang besar.

Contoh lain pula ialah hadith-hadith tentang `tidak masuk syurga
jika melakukan�'. Ada yang menterjemahkannya kepada masyarakat
dengan maksud `haram masuk syurga'. Adakah ini bermakna dengan
melakukan sesuatu dosa (selain syirik) akan menjadikan seseorang
muslim atau muslimah kekal di dalam neraka dan tidak akan masuk
syurga selama-lamanya?

Begitu juga dengan hadith-hadith yang menyatakan bahawa sesiapa yang
melakukan sesuatu amalan, dia akan masuk syurga. Malah ada hadith
yang menyatakan cukup dengan mengucap dua kalimah syahadah sudah
boleh masuk syurga. Adakah ini bermakna amal ibadat tidak lagi
penting? Adakah ini bermakna sesiapa sahaja boleh masuk syurga tanpa
dinilai dosa dan pahala hanya dengan menuturkan kalimah syahadah?

Begitu juga dengan hadith-hadith berkaitan ibadah. Terdapat hadith
yang pada zahir teksnya memberikan maksud tidak sah solat orang yang
sedang menahan kencing atau solat ketika makanan telah terhidang.
Begitu juga terdapat sebahagian kita yang membawa pendapat `wajib
melekatkan buku lali kaki, siku dan lutut dengan orang yang di
sebelah ketika solat jemaah' hanya kerana membawa terjemahan kata-
kata sahabat yang dilihat secara zahir tanpa melihat huraian
daripada pelbagai sumber. Adakah dengan wujudnya perintah Rasulullah
SAW untuk meluruskan saf, maka perbuatan itu dianggap sebagai satu
fardhu atau wajib? Adakah begitu pendapat dan huraian ulama
sepanjang zaman? Begitu juga perintah Rasulullah SAW agar umat Islam
menunaikan solat seperti Baginda solat. Adakah ini bermakna semua
amalan dan bacaan Baginda dalam solat membawa hukum `wajib'
atau `rukun'?

Terdapat hadith-hadith yang kadangkala membawa maksud perumpamaan
tetapi disebabkan terjemahan, ia dilihat seperti hakikat. Contohnya
hadith tentang `syaitan berjalan di dalam salur darah anak Adam' dan
hadith tentang `wanita itu dicipta daripada tulang rusuk'. Walaupun
perkara ini dibincangkan dengan pelbagai pendapat, tetapi terjemahan
ringkas menyebabkan hadith ini dilihat dengan hanya satu sudut dan
satu tafsiran.

Begitu juga dengan hadith-hadith yang menyatakan kalau dibuat
sesuatu perkara, maka diampunkan semua dosa. Adakah ini ditafsirkan
oleh ulama hadith dengan semudah itu?

Begitulah seterusnya jika kita hanya bergantung kepada terjemahan.
Perkara ini juga berlaku dalam kita memahami ayat-ayat Al-Quran.
Tidak memadai dengan hanya bergantung kepada terjemahan ringkas.
Sekiranya mampu dan berkesempatan, jenguk-jenguklah buku-buku tafsir
agar kita tidak salah dalam menyampaikan maksud sesuatu ayat Al-
Quran.

Sekadar contoh umum yang sedikit ini, saya ingin mengajak diri saya
dan para sahabat yang ikhlas dan bersemangat dalam menyebarkan
hadith, agar kita berhati-hati ketika menyampaikan maksud sesuatu
hadith. Pastikan kita telah membuat pembacaan terhadap huraian
hadith itu yang telah dijelaskan oleh ulama hadith sepanjang zaman.
Jangan hanya bergantung kepada terjemahan yang ditambah pula dengan
huraian kita sendiri dengan hanya bergantung kepada akal fikiran.
Jangan sesekali mengambil risiko ini kerana ia akan memberikan kesan
terhadap mereka yang mendengar. Kalaulah kita sampai ke tahap tidak
dapat menemui huraian hadith itu, bertanyalah kepada yang tahu,
kerana itu tidak langsung mengurangkan harga diri kita. Malah itulah
sifat rendah diri yang perlu ada pada penuntut ilmu seperti saya dan
anda. Kalau kita pernah tersalah, maka ubahlah pendapat itu
sebagaimana ulama salaf pernah mengubah pendapat mereka kerana
mengetahui ia kurang tepat.

Wallahu a'lam
alitantawi

No comments: