"ctumi2000" ctumi2000@yahoo.com
Oleh Mohd Zawawie Yusoh
REZEKI secupak tidak menjadi segantang. Begitulah bunyi kata-kata
orang yang tidak bermotivasi dan tidak memahami anjuran Islam. Silap
faham mengenai tawakal mengakibatkan silap faham dalam bertindak.
Orang Islam dulu cemerlang sebab mereka memahami erti dan tuntutan
tawakal, iaitu berserah diri pada Allah selepas ikhtiar dan
melakukan perancangan.
Tawakal juga berserah pada Allah yang menentukan hasil. Hasil pula
tidak termakbul tanpa usaha. Justeru, makna tawakal juga ialah
berusaha sehabis tenaga barulah kita layak bertawakal.
Tawakal ialah ibadat hati yang diawali dengan ibadat. Kerja adalah
ibadat. Orang yang tidak beribadat akan kurang bergantung kepada
Allah , malah silap memahami erti berserah.
Suatu hari seorang lelaki datang berjumpa Nabi s.a.w. Lalu Nabi
bertanya: "Kamu datang dengan apa?" Jawab lelaki itu: "Dengan unta.
Aku biarkan di luar dan aku bertawakal." Nabi berkata: "Ikat dulu,
baru tawakal."
Jelas, tawakal adalah berserah dan berusaha. Tetapi ada orang
berusaha tetapi tidak berserah pada Allah . Sesetengahnya pula
berserah pada Allah tetapi tidak berusaha.
Kita tidak boleh menyalahkan takdir, sebaliknya yang patut
dipersalahkan kita kerana tidak berusaha.
Pepatah Melayu yang menyebut `hendak seribu daya tidak hendak 1,000
dalih' sebenarnya silap.
Konsep takdir dan tawakal sepatutnya mereka tidak banyak dalih,
tetapi banyak cara dan pepatah itu sepatutnya ditukar kepada hendak
seribu daya mahu seribu cara.
Menyalahkan takdir sebenarnya menyalahkan diri sendiri. Pepatah
Inggeris menyebut "what you give you get back." Maknanya, apa yang
anda beri, itulah yang anda dapat.
Dalam satu hadis Nabi Muhammad s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak
berubah qada melainkan dengan doa."
Makna doa ialah berusaha. Jika doa tanpa usaha, itu maknanya doa
yang salah. Contohnya, kita berdoa: "Ya Allah berilah kebaikan dunia
dan akhirat."
Hendak mendapatkan kebaikan di dunia kena berikhtiar dan hendak
keselamatan akhirat mesti juga berusaha. Berusaha mendapatkan syurga
dan dijauhi dari api neraka.
Nabi Yusof a.s pernah menghadapi kegawatan kemarau selama tujuh
tahun. Baginda berjaya mengubah kemarau itu sebabnya sudah melakukan
perancangan selama tujuh tahun lebih awal.
Nabi Muhammad s.a.w mengubah masyarakat Jahiliyah kepada hidayah
kerana Nabi mengubahnya dengan ikhtiar selama 23 tahun.
Kecemerlangan bukan pada keajaiban lampu Aladin dan Nabi juga bukan
menggunakan mukjizat semata-mata, tetapi ikhtiar.
Cuma ikhtiar ada dua cara, satu halal dan lagi satu cara haram. Jika
mahu menjadi orang kaya mesti kuat bekerja dan mengusahakan
perniagaan. Ini cara halal.
Tetapi jika mahu kaya cara salah dengan merompak dan menyamun.
Ikhtiar juga, tetapi caranya haram, dikutuk masyarakat dan tidak
diredai Allah .
Yang secupak menjadi secupak jika ikhtiar kita juga secupak.
Sekiranya yang secupak hendak menjadi segantang, usaha biar sesuai
dengan matlamat kita.
Pendek kata, silap melakukan tindakan akan tersasar. Dengan memahami
konsep tawakal mereka yang mendapat harta tidak akan ego, kerana
yang dia dapat adalah pinjaman dari Allah .
Dengan memahami konsep tawakal kita tidak akan berputus asa,
sebabnya masa depan kita di dalam rahsia Allah .
Ada orang kata, ulat di dalam batu boleh makan. Biarlah, kita
bukannya ulat, malah kita pun hendak mempunyai rumah, kenderaan dan
menghirup udara nyaman. Justeru, kita perlu berusaha lebih daripada
ulat.
http://www.ukhwah.com/viewtopic.php?forum=22&topic=35118
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment