Thursday, January 3, 2008

Pelihara Solat walau apa juga keadaan

kitalah kitalah@yahoo.com

Dari http://kitalah. forumotion. com

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMMAD AL-BAKRI

FIRMAN Allah s.w.t. yang bermaksud: Dan jika kamu
takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil
berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu
telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati
Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih
sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa
yang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah: 239)

Sayid Qutub berkata: Agama ini sungguh mengkagumkan.
Ia adalah agama ibadat, iaitu ibadat dalam segala
bentuk rupa dan solat itulah judul utamanya, dan
menerusi ibadat manusia dapat sampai ke makam yang
setinggi-tingginya.

Menerusi ibadat juga Allah mengukuhkan pendiriannya di
dalam kesusahan dan mendidik dirinya dengan baik di
dalam kesenangan dan kemewahan. Seterusnya melalui
ibadat juga Allah memasukkannya ke dalam kedamaian
dengan seluruh jiwa raganya dan melimpahkan ke atasnya
nikmat keamanan dan kesejahteraan.

Mengancam

Oleh sebab itulah ibadat solat diberi perhatian yang
begitu tinggi walaupun ketika pedang terhunus di
tangan dan pedang musuh mengancam di lehernya.

Apabila berada dalam suasana aman, maka hendaklah
mereka dirikan solat biasa yang diajarkan Allah kepada
kaum Muslimin dan hendaklah mereka mengingati Allah
sebagai bersyukur terhadap apa yang diajarkan Allah
tentang hal-hal yang tidak diketahui mereka.

Firman Allah Taala: Dan jika kamu takuti (sesuatu
bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau
berkenderaan, Al-Mawardi berkata: Ulama telah khilaf
kadar solat mereka. Jumhur telah berpendapat dengan
dua rakaat. Sedangkan al-Hassan satu rakaat sahaja
jika dalam ketakutan.

Sayid Qutub berkata: Jika seseorang itu menghadapi
ketakutan yang tidak memberi peluang untuk mendirikan
solat dengan menghala ke kiblat, maka solat hendaklah
ditunaikan terus tanpa terhenti. Dan di sini yang
menunggang binatang dan yang berjalan kaki dan sibuk
bertempur dan menghindari bahaya dibenarkan menghadap
ke arah mana sahaja yang sesuai dengan keadaannya dan
bolehlah ia membuat isyarat-isyarat yang ringan untuk
sujud dan rukuk.

Solat ini berlainan daripada solat yang dinyatakan
kaifiatnya di dalam surah an-Nisa'. Kerana solat yang
diterangkan di dalam surah an-Nisa' itu adalah
dikerjakan dalam keadaan, di mana kedudukan medan
perang membenarkan diletakkan satu saf makmum yang
mengawalnya, kemudian datang pula saf yang kedua pula
bersembahyang serakaat sementara saf yang pertama yang
telah telah bersembahyang kali yang pertama tadi
berdiri mengawalnya.

Tetapi jika keadaan ketakutan itu bertambah dan
pertempuran sedang berlaku, maka solat yang disebut
dalam surah al-Baqarah di sini yang diamalkan.

Perintah solat ini amat mengkagumkan. Ia menunjukkan
bagaimana pentingnya solat pada pandangan Allah yang
menyarankan kepada hati kaum Muslimin bahawa solat
selaku senjata untuk menghadapi ketakutan dan
kesusahan. Oleh sebab itu solat tidak seharusnya
ditinggal di saat-saat ketakutan yang sedang memuncak.

Solat adalah senjata. Oleh kerana itu ia ditunaikan
oleh pejuang Islam di medan pertempuran ketika pedang
terhunus di tangannya dan ketika pedang (musuh)
menghayun di atas kepalanya. Ia tetap menunaikan solat
kerana solat adalah senjata Mukmin sama seperti pedang
yang terhunus di tangannya. Solat adalah perisai
Mukmin sama seperti perisai yang melindunginya. Ia
menunaikan solat untuk berhubung dengan Allah di
saat-saat yang paling diperlukannya, di saat-saat yang
dirasakannya paling dekat kepada Allah, iaitu ketika
ketakutan mengepung di sekelilingnya.

Firman Allah Taala: Kemudian apabila kamu telah aman
sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan
mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna),

Al-Baghawi berkata: Maksud zikrullah ialah solat lima
waktu yang sempurna dengan segala haknya.

Ibnu al-Arabi berkata: Allah s.w.t. memerintahkan
supaya solat dipelihara dalam segenap keadaan, sama
ada ketika sihat, sakit, bermukim, bermusafir, ketika
kuat, ketika lemah, ketika takut dan ketika aman.
Kewajipan solat tidak gugur daripada orang yang
mukalaf dengan apa keadaan sekalipun dan kefarduannya
tidak terjejas sedikitpun.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Solatlah
sambil berdiri, kalau engkau tidak mampu solatlah
sambil duduk, kalau engkau tidak mampu solatlah sambil
mengiring.

Baginda bersabda dalam hadis sahih daripada riwayat
Ibnu Umar berkaitan solat ketika takut:Jika ketakutan
itu lebih kuat daripada yang demikian, maka solatlah
sama ada secara berdiri atau berkenderaan, menghadap
kiblat atau tidak mengadap kiblat.

Rasulullah s.a.w. pernah menunaikan solat khauf
(semasa dalam ketakutan ) beberapa kali dengan
pelbagai cara. Kami telah menyebutkannya secara
terperinci dalam kitab-kitab hadis. Tujuannya untuk
memberitahu bahawa solat hendaklah didirikan bagaimana
cara yang terdaya dan kewajipannya tidak gugur dalam
keadaan apa sekalipun. Meskipun ia hanya mampu
dilakukan secara mengisyaratkan dengan anak mata maka
ia mesti dilakukan.

Begitu juga jika tidak mampu, digerakkan anggota tubuh
yang lain. Dengan pengertian ini maka solat berbeza
daripada ibadat-ibadat yang lain. Hal ini kerana
ibadat yang lain gugur kewajipannya apabila terdapat
keuzuran dan diberikan rukhsah (keringanan) yang
lemah. Sebab itulah para ulama kami mengatakan solat
ialah persoalan yang paling besar: Sesungguhnya orang
yang meninggalkan solat dihukum bunuh kerana solat
menyerupai imam yang tidak boleh gugur dalam apa jua
keadaan. Mereka menyatakan solat salah satu tunggak
agama Islam yang tidak boleh digantikan dengan batang
tubuh orang lain atau harta benda. Orang yang
meninggalkannya perlu dihukum bunuh. Tunggak asalnya
ialah dua kalimah syahadah.

Abu Hanifah mengatakan: Berperang menyebabkan solat
itu menjadi rosak (batal). Kami telah menolak
pandangannya dengan mengemukakan dalil melalui jalan
periwayatan Ibnu Umar dan keterangan zahir ayat
al-Quran ini merupakan dalil terkuat yang dapat
menolak pandangan beliau.

Sonhaji berkata: Tetapi jika telah berada dalam
keadaan aman kembali atau tidak berada dalam ketakutan
lagi maka sembahyanglah seperti biasa. Sebutlah dan
ingatlah kembali kepada Allah.

Firman Allah Taala: Sebagaimana Allah telah mengajar
kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Al-Alusi berkata: Faedah menyebut maf'ul fih di sini
sekalipun manusia tidak mengetahui kecuali apa yang
tidak diketahui secara jelas dengan menyebut keadaan
jahil yang berpindah daripadanya. Maka ia lebih nyata
dalam kurniaan.

Sebagaimana Dia telah mengajarkan kamu apa yang kamu
tidak ketahui yakni mengisyaratkan bahawa Allah
mengurniakan kita nikmat ilmu pengetahuan, kalaulah
tidak dengan adanya hidayat dan tunjuk ajar-Nya
tiadalah dapat kita mengetahui sesuatu. Maka
kepada-Nya terserah segala pujian.

Iktibar Ayat

- Solat tidak gugur dalam apa jua keadaan sekalipun.

- Solat merupakan ibadat yang mulia sebagai hubungan
antara hamba dengan tuhannya.

- Pensyariatan solat khauf semasa dalam ketakutan atau
peperangan menandakan kepentingan solat.

No comments: