"ctumi2000" ctumi2000@yahoo.com
Syeikh Muhamad Mutawalli al-Sya'rawi (1911-1998M) : Tokoh Tafsir
Mesir abad 21
oleh Mohd Rumaizuddin Ghazali
Saya menulis sejarah hidup Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya'rawi
sebagai sebagai satu penghormatan kepada guru saya ini yang banyak
memberi kesan dalam kehidupan semasa saya menuntut di al-Azhar.
Antara guru yang memberi kesan kepada diri saya antaranya ialah
Syeikh Ismail al-Adawi, Syeikh Muhammad al-Ghazali, Syeikh Mustafa
dan Syeikh Muhammad al-Mutawalli. Setiap minggu saya membeli buku
tafsirnya yang dikeluarkan pada masa itu seminggu sekali oleh Akhbar
al-Yawm di Mesir. Di samping itu, kami mengikuti kuliah-kuliah
tafsir yang disiarkan oleh TV dan radio di negara Mesir ketika itu.
Menurut Dato' Abdul Hamid Othman, Mantan Menteri di Jabatan Menteri
Perdana Menteri Malaysia, bahawa jika beliau datang ke Mesir maka
beliau tidak akan melepaskan peluang membeli buku-buku Syeikh
Mutawalli al-Syarawi dan kaset kuliah-kuliah tafsir untuk
dipelajarinya kerana tafsirnya bersifat semasa dan memberi kesan
kepada jiwa.
Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya'rawi dilahirkan pada 15 April 1911
di Daqadus, daerah Mit Ghamir, Negeri Daqaliyyah, Mesir. Beliau
tamat menghafaz al-Quran ketika berusia 11 tahun. Pada tahun 1916,
beliau telah memasuki Sekolah Rendah Zaqaziq dan berjaya memperolehi
Sijil Sekolah Rendah pada tahun 1923 dan kemudiannya memasuki
sekolah peringkat menengah. Beliau terkenal dengan seorang yang
sukakan syair dan kesusasteraan Arab sehingga rakan-rakannya
melantik beliau menjadi Ketua Persatuan Pelajar dan Ketua Persatuan
Kesusasteraan di daerah Zaqaziq.
Syeikh Mutawalli mengambarkan kampungnya yang begitu indah dengan
pemandangan, subur dengan tanaman hijau-hijauan di perlembahan
Sungai. Nil. Nama penuhnya ialah Muhammad bin Mutawalli al-Sya'rawi
al-Husaini yang nasab keturunan bapanya sampai kepada Imam Husain
bin Ali k.w.
Satu peristiwa yang terpenting dalam hidupnya yang berubah segala-
galanya apabila keinginan bapanya untuk meminta beliau melanjutkan
pelajaran ke al-Azhar di Kaherah sedangkan beliau hanya ingin
tinggal bersama-sama saudaranya di kampung dan menjadi petani.
Menurutnya, tidak ada bagi seorang kanak-kanak cita-cita atau
keinginan tertentu. Baginya hanya apa yang ada di sekeliling iaitu
untuk menjadi petani dan bekerja di situ. Tetapi keinginan ayahnya
yang inginkan beliau belajar di Kolej al-Azhar apabila beliau telah
tamat menghafaz al-Quran. Namun keinginan beliau untuk menjadi
petani menjadikannya membuat berbagai helah agar tidak masuk ke
Kolej al-Azhar. Beliau telah memasukkan habuk tanah ke dalam matanya
agar menjadi rabun dan ditolak semasa peperiksaan kesihatan. Namun
helah ini juga tidak berjaya kerana kolej itu menerima orang buta.
Helah kedua ialah gagap dan berbuat lupa ketika ujian hafalan al-
Quran. Namun guru tersebut tetap menerimanya sebagai pelajar. Helah
ketiga ialah meminta ayahnya membeli kitab-kitab yang besar dan
mahal harganya di kedai dengan mengatakan ini adalah silibus kolej.
Lalu dibeli oleh ayahnya. Apabila pulang ayahnya berkata : " Wahai
Amin (gelaran yang diberikan oleh ayahnya), janganlah kamu menyangka
aku lupa bahawa semua buku-buku tersebut bukanlah silibus untuk
kamu. Harga buku silibus kamu tidak sampai 37 Qurus sahaja. Tetapi,
wahai anakku, semoga Allah memanfaatkan kamu dengan buku-buku ini."
Inilah peristiwa yang merubah hidupnya untuk mendalami ilmu dan
membaca buku-buku yang muktabar. Beliau telah memasuki Kolej Agama
Zaqaziq pada tahun 1930an dan mendapat sijil agama pada tahun 1936.
Beliau telah memasuki Kuliah Bahasa Arab pada tahun 1937 dan beliau
aktif dalam persatuan pelajar di Universiti al-Azhar. Beliau menjadi
graduan pada tahun 1941 dan menyambung pelajaran dalam Pengkhususan
Bahasa Arab (peringkat M.A) dan berjaya dalam tahun 1943. Beliau
pernah dipenjara ketika beliau menuntut di Ma'had Zaqaziq selama
sebulan akibat mengadakan sambutan sempena mengingati Saad Zaghlul,
seorang ulamak al-Azhar yang pada ketika itu berjuang menentang
kerajaan. Apabila ia tamat graduan, beliau bertugas sebagai guru
agama di Kolej Tanta, kemudian berpindah di Kolej Zaqaziq, kemudian
berpindah ke Kolej Agama Iskandariah. Pada tahun 1950, beliau
menjadi guru di Kolej al-Anjal di Arab Saudi dan kemudian menjadi
pensyarah syariah di Universiti Ummul Qura, Mekkah. Beliau mengajar
di situ sehingga tahun 1963. Al-Sya'rawi mengambarkan bahawa kuliah
Syariah ini terletak berhampiran dengan Masjidil Haram. Ketika saya
mengajar, saya dapat melihat dengan jelas Kaabah dan ini memberi
kesan yang besar terhadap jiwa saya, jiwa para guru dan pelajar-
pelajar di situ. Pada waktu itu, tidak terlepas seditikpun dari
mengingati Allah dan rasul-Nya.
Pada tahun 1963, apabila berlaku krisis antara Gamal Abdul Naser.
Presiden Mesir dengan Raja Saud, maka Gamal Abdul Naser melarang
beliau untuk ke Arab Saudi dan melantik beliau menjadi Pengarah di
Pejabat Syeikh al-Azhar Syeikh Hassan Makmun. Kemudian beliau
bertugas di Algeria sebagai Wakil al-Azhar dan menetap di sana
selama tujuh tahun. Apabila beliau pulang ke Mesir, beliau dilantik
menjadi Pengarah Kementerian Wakaf, Negeri Gharbiyyah kemudian
menjadi wakil bahagian Dakwah dan Pemikiran dan kemudian menjadi
wakil al-Azhar. Selepas itu, beliau pergi ke Arab Saudi untuk
mengajar dui Universiti Raja Abdul Aziz. Pada November 1976, Mamduh
Salim menjadi Perdana Menteri Mesir dan melantik beliau menjadi
Menteri Wakaf dan Pentadbiran Al-Azhar. Beliau menjadi menteri
sehingga tahun 1978 selama dua tahun. Beliau memegang jawatan ini
bukan kerana kepentingan dunia dan dikenali sebagai seorang menteri
yang mudah berinteraksi dan bertanggungjawab. Pintu pejabatnya
sentiasa untuk para ulamak, kawan-kawan dan pelajar-pelajar untuk
berbincang dengannya. Walaupun menjawat jawatan menteri, jawatan
tersebut tidak mengubah pendiriannya sedikitpun. Beliau merupakan
seorang yang amat pemurah dan menafkahkan gajinya kepada para
pelajar dan orang miskin.
Dalam satu temuramah oleh Fatimah al-Sahrawi mengenai kenapa beliau
menerima jawatan Menteri Wakaf dan kemudian meninggalkannya. Beliau
menjawab : " saya menerima kerana saya berpendapat saya telah lama
meninggalkan Mesir sejak tahun 1950 dan berada di luar negeri. Saya
tidak mempunyai hubungan dengan pemerintah dan pegawai-pegawainya.
Dan apabila saya berdakwah saya dapati diri saya jauh dari mereka.
Saya berfikir kenapa mereka meminta saya untuk memegang jawatan
tersebut sedangkan saya berjauhan dengan mereka. Ini menandakan
bahawa mereka memilih untuk melakukan sesuatu tugas yang mulia.
Sekiranya saya tidak menerimanya, maka mereka akan mengatakan saya
tamakkan harta kerana saya dibayar gaji di Arab Saudi sebanyak 2000
ribu sebulan sementara menjadi Menteri di Mesir sebanyak 250 Junaih
tetapi saya perlu berkorban." Dalam satu pertemuan yang lain
mengenai isu ini juga, beliau mengatakan syukur kepada Allah kerana
jawatan menteri itu bukan sesuatu yang diminta-minta tetapi ditawar
kemudian beliau menerimanya.
Pada tahun 1980, beliau dilantik menjadi anggota Majma' al-Buhuth al-
Islamiah ( badan Penyelidikan Islam) di al-Azhar. Setelah itu,
beliau bergiat dalam aktiviti dakwah dan menyebarkan ilmu dan
menolak jawatan yang ditawarkan kepadanya.
Beliau telah dianugerah pingat darjat pertama pada tahun 1976,
sebelum dilantik menjadi Menteri Wakaf dan Pingat Kebangsaan pada
tahun 1983 dan 1988. Beliau juga mendapat Doktor Kehormat
Kesusasteraan dari Universiti Mansurah dan Universiti Manufia.
Beliau juga dipilih sebagai pemenang tokoh oleh Negeri Daqaliah pada
tahun 1989. Beliau juga pernah mendapat Anugerah Dubai dan Pingat
Amir Zaid Ali Nahyan. Duit yang beliau dapat dari pingat itu
disedekahlam kepada al-Azhar dan para pelajar di Bu'us Islamiah (
Asrama Pelajar al-Azhar).
Beliau juga terkenal sebagai seorang dermawan dan membuat kebajikan.
Beliau mendirikan di kampungnya Daqadus Maahad Al-Azhar, Sekolah
Tahfiz, Masjid dan Pusat Kesihatan untuk orang Miskin. Royalti buku-
buku beliau didermakan untuk kebajikan. Beliau wafat pada pagi Rabu
22 Safar tahun 1419H bersamaan 17 Jun 1998.Jenazahnya telah
dimandikan oleh Dr Omar Hashim dan diimamkan oleh Dr Sayyid al-
Tantawi.Sebelum meninggal dunia, beliau berwasiat kepada anak-
anaknya agar jangan bergaduh kerana harta dan berwasiat agar
disiapkan satu juzuk terakhir tafsir al-quran yang belum disiapkan
lagi dengan melihat rakaman yang dirakamkan di TV dan Radio.Malah
dua hari sebelum meninggal dunia, beliau berwasiat agar
mempersiapkan kuburan untuknya di kampung.
Menurut anaknya, Ahmad bahawa bapanya telah mengkhaskan daripada
gajinya kepada beberapa orang penduduk yang tinggal di Kaherah,
Tanta dan kampungnya. Malahan wang yang diperolehi dari ceramah-
ceramah, royalti buku dan majalah disedekahkan untuk orang ramai.
Beliau pernah menafkah wang berjuta dolar yang dihadiahkan oleh Raja
Dubai untuk aktiviti dakwah.
Mengenai kenapa beliau tidak memakai pakaian rasmi al-Azhar (iaitu
berjubah dan serban Merah), beliau menjawab sememangnya beliau
menyukai pakaian rasmi al-Azhar namun setelah beliau dituduh ingin
merebut jawatan syeikh al-Azhar maka beliau menanggalkan pakaian
tersebut untuk selamanya. Hal ini terjadi kerana beliau memberikan
ciri-ciri dan syarat-syarat kelayakan untuk menjawat jawatan Syeikh
al-Azhar kepada Anwar Sadat, Setelah itu orang beranggapan bahawa
beliau menginginkan jawatan tersebut.Oleh kerana itu, untuk
membuktikan keikhlasannya beliau menanggalkan pakaian yang amat
disukainya.
Ahmad Bahjat menyifatkan Syeikh al-Sya'rawi seorang ahli tafsir
semasa yang dapat menafsirkan ayat-ayat al-Quran dengan uslub yang
mudah difahami oleh orang umum. Sementara Omar Hashim, bekas Rektor
al-Azhar menyifatkannya sebagai seorang mujadid abad ini. Yusuf al-
Qaradawi menyifatkan Syeikh Mutawalli al-Sya'rawi seorang ahli al-
Quran. Beliau merupakan seorang yang dikurniakan Allah kefahaman al-
Quran dan rahsia-rahsianya serta pandangan-pandangan nya mempunyai
kesan kepada masyarakat umum, sama ada golongan terpelajar mahupun
tidak. Tidak semua orang yang membaca al-Quran dapat menyelami makna-
makna kecuali diberikan Allah kefahaman tersebut. Dan Syeikh al-
Sya'rawi adalah orangnya yang diberikan Allah kurniaan tersebut.
Menurut al-Qaradawi, Syeikh al-Sya'rawi keseluruhan hidupnya adalah
untuk berkhidmat kepada agama Islam dan menyebarkan ilmu dan
kematian ulamak merupakan satu kehilangan besar dan musibah kepada
umat kerana apabila Allah menarik ilmu adalah dengan kematian
ulamak. Apatah lagi dalam masa terdekat beberapa ulamak lainpun
telah meninggal dunia sebelumnya seperti Syeikh Muhammad al-Ghazali,
Syeikh Khalid Muhammad Khalid, Syeikh Jad al-Haq Ali Jad al-Haq
(Syeikh al-azhar), Syeikh Abdullah bin Zayd Ali Mahmud, Syeikh Abdul
Fatah Abu Ghadah. Menurutnya lagi, sememanng ada yang bersepakat
dengan Syeikh al-Sya'rawi dan ada yang berbeza pendapat dengannya
seperti pandangannya mengenai pemindahan organ. Beliau tidak
bersetuju pemindahan organ. Beliau juga tidak bersetuju untuk
mengambil pendekatan menentang kerajaan dan mengambil pendekatan
tadaruj sedangkan ada sesetengah golongan inginkan pendekatan
kekuatan dan menentang pemerintah. Perkara ini sudah tentu berbeza
dengan Syeikh al-Sya'rawi. Namun, kesemuanya bersetuju atas
sumbangan dan khidmatnya dalam khidmat kepada agama Islam
keseluruhannya, meninggikan kalimatnya dan berdakwah kepada
masyarakat dengan bahasa yang mudah dan semasa. Al-Qaradawi
menyebutkan lagi, Syeikh al-Sya'rawi merupakan gurunya dalam subjek
Balaghah semasa beliau menuntut di Kolej Al-Azhar Tanta. Menurut al-
Qaradawi, pada tahun 1417H, apabila beliau dianugerah Pingat
Antarabangsa Syahsiyat Islam Dubai, saya telah diminta oleh pihak
penganjur untuk menghadiri bagi menghormati beliau. Saya telah hadir
dan apabila beliau mengetahui kehadiran saya beliau merasa sungguh
seronok dan bergembira. Saya menghadiri majlis tersebut sebagai
tanda menghormatinya dan sepatutnya kita sebagai seorang muslimin
juga menghormati para ulamak kita seperti Syeikh al-Sya'rawi dan
Muhammad al-Ghazali.
Syeikh al-Sya'rawi telah berkahwin dalam usianya yang masih muda
atas permintaan bapanya yang inginkan beliau berkahwin awal dan
isterinya adalah pilihan keluarga. Mereka dikurniakan 5 orang anak
iaitu Sami, Abdul Rahim, Ahmad, Fatimah dan Solehah. Mengenai
pendidikan anak-anak, al-Sya'rawi menyebutkan bahawa perkara yang
penting ialah memberi contoh teladan dan sekiranya kita menunjukkan
akhlak yang mulia sudah tentu mereka akan mengikutinya. Adalah
menjadi kewajipan kita mendidik mereka dengan akhlak dan perangai
yang mulia dan memelihara telinga dari mendengar perkara yang buruk,
memelihara matanya dari melihat yang mungkar. Kita hendaklah
mendidik anak-anak dengan pendidikan Islam dalam menunaikan amalan
dan kewajipan agama, tekun dalam membuat kerja dan menunaikan solat
pada waktunya.
Antara buku-buku karangannya :
1. Tafsir al-Sya'rawi (Tafsir al-Sya'rawi)
2. al-Isra' wa al-Mi'raj (Isra dan Mikraj) Terjemahan dalam bahasa
Melayu oleh Dinie Publihers
3. al-Islam wa al-Fikr al-Mu'asir (Islam dan Pemikiran Semasa )
4. al-Islam wa al-Mar'ah (Islam dan wanita)
5. al-Tariq ila Allah (Jalan Menuju Allah)
6. al-Fatawa (Fatwa-Fatwa)
7. Mu'jizat al-Qur'an (Mukjizat al-Quran) Terjemahan dalam bahasa
Melayu oleh Pustaka Nasional)
8. Min Fayd al-Rahman (Dalam Limpahan al-Rahman) Terjemahan dalam
bahasa Melayu oleh Pustaka Yasmeen)
9. al-Qada' wa Qadar (Qada dan Qadar)
10. al-Salat wa Arkan al-Islam.(Solat dan Rukun-Rukun Islam)
11. Nazarat fi al-Qur'an (Pandangan-Pandanga n al-Quran)
12. Hadha Huwa al-Islam (Inilah Islam)
13. al-Hayat wa al-Maut (Kehidupan dan Kematian)
14. Al-Taubat (Taubat)
15. al-zalim wa al-zalimun (Zalim dan orang-orang Zalim)
16. Sirah al-Nabawiyyah ( Sejarah Nabi Muhammad s.a.w.)
Dan masih lagi banyak lagi buku-buku beliau terutama dalam
penafsiran al-Quran dan persoalan umat semasa.
Menurut al-Sya'rawi beliau tidak mengulangi mana-mana buku kecuali
al-Quran. Al-Quran telah memberi ufuk yang luas kepada jiwa dan
pemikirannya. Beliau menafsirkan al-Quran dengan menamakannya
sebagai "Khawatir al-Imaniah". Ia bukan semata-mata tafsiran ayat
demi ayat mengikut tertib mashaf serta menerangkan kalimah dan
menafsirkan ayat tersebut. Khawatir al-Imaniah ini bertujuan untuk
mencapai al-Ijaz al-Quran dan menyampaikan pemikiran iman kepada
masyarakat umum.Ia mengandungi beberapa keistimewaan iaitu :
1. Menghubungkan tajuk antara dua tafsir surah seperti menghubungkan
surah al-Fatihah dengan surah al-Baqarah dan menerangkan makna dan
matlamat. Ini dilakukan untuk menimbulkan Ijaz al-Quran, mengetuk
hati dan pemikiran iman kepada orang umum. Oleh itu, beliau
menerangkan dari satu surah dan berpindah ke surah yang lain
kemudian barulah ditafsirkan ayat di hendak dijelaskan.
2. Setiap tafsiran dikuatkan dengan ayat-ayat berkaitan al-Kawniyyah
( kejadian alam semesta) dalam al-Quran dan hubungan dengan hakikat
ilmiah semasa, menghubungkan antara Quran dan iman, antara iman dan
ilmu dengan tafsiran yang seimbang.
3. Setiap tafsiran itu diberi perumpamaan semasa dan realiti
kehidupan semasa dengan contoh-contoh yang berlaku di sekeliling
orang awam. Ini dilakukan untuk mendekatkan orang ramai dengan al-
Quran dan menambahkan seorang mukmin bahawa al-Quran adalah sesuatu
yang benar dan kitab fitrah iaitu kitab yang bersesuaian dengan jiwa
manusia dan kemanusiaan.
Al-Sya'rawi juga seorang yang terkenal bersyair. Antara tema-tema
syairnya adalah bertemakan kemanusiaan dan ketuhanan. Menurutnya,
dalam bidang syair ini beliau mengikut manhaj Shawqi. Bapa saya
apabila selesai solat Fajar dan ia akan menunggu surat khabar. Jika
ia dapati ada syair Shawi, ia akan menyuruh saya membaca dan
menghafaz. Dia akan memberi wang apabila saya dapat menghafaznya
pada sebelah petang syair tersebut.
Mengenai peranan al-Azhar, beliau berharap al-Azhar dapat menjadi
tempat memelihara ilmu-ilmu Islam dan Bahasa Arab. Beliau
menyebutkan bahawa peranan al-Azhar bukan hanya terhenti dalam 10
kurun yang lalu. Dalam masa tersebut. Al-Azhar telah berperanan
memelihara ilmu-ilmu Islam dan memelihara Bahasa Arab dari hilang
ketika mana berlaku serangan pemikiran dari golongan penjajah. Al-
Azhar harus berperanan menyedarkan umat Islam dan memelihara ilmu-
ilmu Islam dan Bahasa Arab. Di samping itu, membawa manusia ke arah
risalah ilmu dan iman dan menyedarkan anak-anak Muslim untuk bangun
dan berusaha ke arah kemuliaan dan kebanggaan bagi diri dan negara
mereka. Menurut Syeikh al-Sya'rawi lagi, kebanyakkan orang memahami
peranan al-Azhar dengan kefahaman yang silap. Peranan al-Azhar
sekadar untuk menyedarkan manusia untuk melaksanakan hukum dan
beramal dengan hukum Islam sementara pelaksanaannya bukanlah
tanggungjawab al-Azhar kerana sesetengah orang beringinkan ulamak al-
Azhar memikul senjata untuk melaksanakan hukum-hukum Allah. Jelas di
sini, peranan al-Azhar adalah memberi risalah ilmu kepada umat Islam
dan melahirkan para duat yang ikhlas dan berwibawa.
Mengenai ibadat pula, Omar Hashim menyebutkan Syeikh al-Sya'rawi
seorang yang banyak beribadat dan bersolat. Beliau menjadikan
rumahnya sebagai masjid apabila beliau dalam keadaan uzur dan tidak
mampu untuk pergi ke masjid untuk solat berjamaah. Pada suatu hari
saya pergi ke rumahnya dan beliau masih lagi bersolat sedangkan
jamaah lain telah habis menunaikan solat Isya', solat sunat badiah
dan witir. Sedangkan Syeikh al-Mutawalli terus menunaikan solat-
solat sunat. Syeikh al-Sya'rawi menyebutkan bahawa beliau
mempelajari dari ayahnya dua perkara :
i. Pertama bahawa ayahnya pernah menyebutkan kepada
beliau : "Jagalah dan peliharalah tawaduk kerana rahsia-rahsia ilmu
tidak akan diperolehi oleh orang-orang yang sombong."
ii. Ayahnya pernah mengatakan : " Ikatkanlah diri kamu dengan Allah
selalu dan tidak takut selain Allah."
Kedua-dua aspek ini jelas dipratikkan oleh Syeikh al-Sya'rawi aiitu
beliau seorang yang tawaduk dengan ilmunya dan sentiasa beribadat
dan berzikir mengingati Allah.
Antara fatwa-fatwanya :
i)Adakah mayat mendapat manfaat dari sedekah dan mempunyai perasaan
terhadap orang hidup dan adab ziarah Kubur?
Dalam menjawab persoalan perkara syeikh al-Sya'rawi menyebutkan
bahawa mayat akan mendapat manfaat dari sedekah-sedekah yang
dilakukan kepadanya. Disebutkan oleh Syeikh al-Adawi dalam
kitabnya "Masyariq al-Anwar" bahawa telah bersepakat para ulamak
bahawa pahala sedekah akan sampai kepada mayat sama ada kubur itu
dekat atau jauh. Begitu juga istighfar dan berdoa kepadanya. Berkata
Imam al-Qurtubi lagi bahawa ulamak telah bersepakat bahawa pahala
sedekah akan sampai kepada si mayat. Begitu juga kata-kata dalam
membaca al-Quran dan berdoa dan beristighfar kepadanya. Ini
berdasarkan kepada hadith yang menyebutkan bahawa mayat itu sentiasa
menanti-nanti doa dari saudaranya atau bersedekah untuknya,
sekiranya ia memperolehi perkara tersebut, itu adalah yang terlebih
baik dari dunia dan segala isinya. Berkata Imam al-Syarani bahawa
dalil sampai pahala tersebut adalah sabda Rasulullah yang
menyebutkan apabila kamu melalui kubur hendaklah membaca Qul Huwa
Allah ahad sebanyak 11 kali dan kemudian bersedekah kepada ahli
kubur tersebut, maka mayat-mayat tersebut akan mendapat pahala
darinya. Disebutkan juga oleh Imam Ahmad bahawa apabila kamu berada
di kubur maka bacalah al-Fatihah dan dua surah ma'uzatain (surah al-
Nas dan surah al-Falaq) dan Qul Hu Allah ahad (Surah al-Ikhlas) dan
jadikanlah ia sebagai sedekah kepada ahli kubur kerana ia akan
sampai kepada mereka.
ii)Adakah mayat dapat merasai apa yang dilakukan orang-orang hidup.?
Telah sabit dalam hadith bahawa mayat mempunyai perasaan dan merasai
dengan apa yang berlaku diluar kuburnya. Dalam hadith al-Bukhari
menyebutkan bahawa mayat akan datang dua malaikat yang akan bertanya
kepadanya dan dia akan mendengar tapak-tapak kasut orang yang
beredar dari kuburnya .Begitu juga dinyatakan oleh Muslim.
Dalam Fatawa Ibn Taimiyah ada nas seperti berikut : apakah yang
dikatakan oleh orang hidup apabila menziarahi mayat. Adakah ia
mengetahui orang yang menziarahi mereka dan adakah mayat mengetahui
apabila matinya saudara mereka atau bukan saudara mereka.? Maka Ibn
Taimiyah menjawab : " Telah tersebut dalam Athar bahawa si mayat
akan bertanya tentang perjumpaan dan amalan �amalan orang-orang
hidup kepada orang yang baru mati. Ibn Qaiyyim dalam Zad al-Ma'ad
menyebutkan bahawa mereka akan mengetahui sesiapa yang menziarahi
mereka terutama pada hari Jumaat.
Telah terbukti bahawa nabi pernah memanggil orang yang mati dalam
peperangan Badar dari golongan musyrikin, Dan beliau berkata kepada
Umar apabila Umar bertanya "Sesungguhnya Allah telah mengutuskan aku
dengan kebenaran, sesunguhnya engkau sahaja yang tidak mendengar
dari mereka dan mereka lebih mendengar dari engkau."
Mengenai siksa kubur, Syeikh al-Syarawi berpendapat sememang benar
ada, iaitu dengan diperlihatkan kepada mayat dalam kuburnya, apa-apa
yang dialami kelak dari seksa neraka. Allah menjelaskan berapa seksa
yang dialami fir'aun dalam kehidupan dalam kubur atau alam barzah.
Firman allah yang bermaksud : " kepada mereka dinampakkan neraka
pagi dan petang.dan pada hari kiamat diperintahkan kepada
malaikat: " masukkanlah Fir'aun dan kaumnya itu dalam azab yang
sangat keras." (al-Mukmin, ayat 46)
Hadith-hadith Rasulullah juga menerangkan tentang siksa kubur
diantaranya, tanah-tanah merangkul dan menghimpit tubuh sehingga
tulang rusuk yang kanan beradu dengan tulang rusuk yang kiri. Jika
bertanya tentang benar atau tidak adanya siksa kubur, tentu sudah
yakin benar akan adanya siksa akhirat (neraka) sebab ini menyangkut
rukun iman. Kalau ada yang bertanya, mengapa kelak manusia di
akhirat diadili dan dihisab untuk ditentukan tempatnya di syurga
atau neraka? Jawapannya, boleh kita ambil contoh di dunia ini. Orang
yang bersalah sebelum diadili dan diputuskan hukumnya lebih dulu
diperiksa oleh polis. Dibuat laporan dan diserahkan kepada
pendakwaraya lalu dibawa ke mahkamah. Mungkin juga dilakukan
penahanan. Proses seperti itu sudah merupakan seksaan bagi si
tertuduh.
Nasihat kepada para da'i
Kejayaan dakwah pada permulaan Islam kerana disebabkan contoh
teladan yang baik dari para da'i dan berbudi mulia.Mereka merupakan
orang-orang kuat bukan dari segi material tetapi dari segi akidah,
ibadah dan akhlak. Mereka menjadi pemimpin yang disenangi. Sesuatu
organisasi dakwah yang tidak memiliki orang yang berwibawa sebagai
pemimpin dan contoh yang baik tidak akan maju dan berhasil.
Menurutnya, dakwah kepada Allah dan agama wajib ditempuh dengan
lapang dada, ucapan lemah lembut, nasihat yang baik, bukti-bukti
yang penuh bijaksana dan kekuatan dalil.
Sekiranya dakwah yang disampaikan tidak memuaskan lawan, maka mereka
akan menyedari bahawa para da'i adalah orang yang kurang
berpendidikan dan belum mengamalkan ajaran Allah dengan baik. Untuk
mengajak orang lain meninggalkan satu tradisi yang biasa dilakukan,
janganlah menggunakan ucapan atau kata-kata yang menyinggung
perasaannya.
Dengan berbuat demikian para pendakwah menghadapi dua kesulitan
pertama, kesulitan mereka meninggalkan amalan-amalan tradisional
yang sudah lama lakukan. Kedua, kesulitan menempuh jalan kesedaran
bagi orang yang sudah tersinggung perasaannya.
Oleh itu Syeikh al-Syarawi menyeru agar jangan menggunakan emosi
dengan cara mencaci kerana kewajipan pendakwah adalah menyampaikan
seruan dan ajaran Allah dan bukan seruan dan ajaran peribadinya.
Bagaimana keadaan dunia ini jika kebatilan sudah berkuasa, maka
masyarakat akan bertambah rosak. Adalah menjadi kewajipan para
pendakwah untuk mengemukakan perbandingan antara yang hak dan yang
batil dengan mengemukakan hujah-hujah yang baik dan bijaksana kerana
Islam disebarkan dengan kebijaksanaan dan beradab dan bukan dengan
perang atau kekerasan.
Semasa ditanya hukum menyambut maulid nabi, Syeikh al-Syarawi
menyebutkannya adalah mubah (dibolehkan) selama dilakukan dengan
maksud mengambil suri teladan kehidupan beliau. Menurutnya, banyak
kaum muslimin yang menyelenggarakan peringatan maulid, tetapi
sedikit sekali yang dapat mengambil manfaat darinya, padahal di tiap-
tiap peringatan umat Islam apabila menghidupkan satu saja syiar
agama dan melaksanakannya pasti agama Islam akan jaya. Ternyata
perayaan-perayaan maulid itu sekadar ikut memperingati yang
disesuaikan dengan kecederungan nafsu, makan-makan yang lazat,
hiasan-hiasan indah serta nyayian diiringi rebana, yang semuanya itu
jauh dari agama. Peristiwa maulid nabi Muhammad s.a.w. adalah
peristiwa terbesar sepanjang sejarah, bahkan lebih besar dari
peristiwa terciptanya seluruh alam, sebab beliau datang dengan
ajaran Allah sebagai rahmat bagi seluruh alam. Menurutnya lagi,
Islam tidak perlu pada keindahan dan hiasan luar untuk menarik hati
orang lain, kerana itulah peringatan maulid tidak boleh lepas dari
ajaran beliau. Tidak ada salahnya jika peringatan dan perayaan
maulid yang bersifat keindahan itu diselenggarakan untuk anak-anak
dan remaja agar hati mereka terikat dengan kecintaan peringatan itu,
juga untuk membentangi akal dan jiwa mereka sebelum diracuni oleh
pemikiran yang buruk.Tetapi itu saja tidak mencukupi, hendaknya
dalam setiap kesempatan mereka diberikan pelajaran rohani agar
tertanam kecederungan beragama.
Mengenai tasawuf, Syeikh al-Sya'rawi menyebutkan bahawa tasawuf yang
sebenar ialah hidup ditengah keramaian masyarakat dan ikut bergelut
dengan kancah kehidupan. Tasawuf sebenarnya orang yang dikenal dapat
hidup ditengah orang-orang berharta, suasana masyarakat yang rakus
dan segala macam-macam fitnah. Seorang yang tidak ikut kasar, serong
dan tidak ikut berbuat curang padahal dia hidup ditengah-tengah
masyarakat seperti itu, adalah yang lebih disukai Allah. Orang
seperti itu mempunyai harga dan kehormatan diri.
Tasawuf yang sejati tidak akan meninggalkan kancah kehidupan
duniawi. Al-Sya'rawi menjelaskan beberapa pengertian tasawuf.
Menurut, tasawuf mula dikenal pada akhir abad kedua hijrah sebagai
sifat dan perilaku orang yang hidup sederhana dan menjauhi
kesenangan dan kemewahan hidup duniawi. Ia juga bererti melaksanakan
urusan duniawi dengan selalu menjaga diri dalam jalur perintah dan
larangan Allah, mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. yang
telah banyak dilupakan orang. Sementara sifat orang sufi ialah tidak
ingin menonjolkan di dalam masyarakat dan tidak ingin dikenal
kemasyhurannya dan tidak mencari kepentingan diri. Menurutnya lagi,
sekolah dari tarikat sufiyah banyak menghasilkan ulamak besar dan
terkenal, yang mempunyai kecintaan Islami yang murni. Menurutnya
tidak ada perbezaan antara salafi dan sufi pada prinsipnya.
Perbezaan yang ada iaitu bahawa sufi dan aliran tasawuf menempuh
jalan tertentu iaitu disebut sebagai tarikat-tarikat dengan
organisasi yang dipimpin oleh syeikh-syeikh. Sementara salafiyyah
berpegang teguh pada ajaran masa nabi Muhammad dengan bersifat wara'
iaitu menjauhi apa yang syubhat dan khawatir masuk dalam perangkap
yang haram. Mereka menggabungkan sifat wara' dengan peningkatan ilmu
pengetahuan dan melengkapi ibadah dengan mengamalkan yang sunnah-
sunnah sepenuhnya.
Dalam membentuk belia dan pemuda Islam, al-Sya'rawi menjelaskan
bahawa peranan keluarga amatlah penting. Malah menurutnya, Islam
amat menekankan pembentukan pemuda itu sebelum ia wujud lagi iaitu
ketika mana manusia berfikir untuk mendirikan rumahtangga hendaklah
ia memilih isteri atau suami yang baik dan soleh. Perkara ini kerana
keluarga yang baik dan persekitaran yang bagus akan melahirkan
pemuda yang baik. Malah Islam menyeru agar si suami yang ingin
mendatangi isterinya sentiasa membaca doa-doa agar zuriatnya
dilindungi dari tipudaya syaitan. Di samping itu, ibu yang hamil
hendaklah melakukan perkara yang baik, memberi nama yang elok kepada
anaknya dan menyusu dengan sempurna sebagai asas kepada pembentukan
para remaja yang berakhlak mulia.
Kuala Lumpur
14 Februari 2007
http://www.abim. org.my/madani/ content/view/ 175/2/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment